Remaja ini dianggap datang dari planet lain
PETALING JAYA: Kejayaan luar biasa seorang pelajar di Kolej Mara Banting (KMB) menjadi bualan netizen apabila dia bukan sahaja meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan minggu lepas, malah turut cemerlang dalam ujian semester di kolejnya.
Muhammad Ihsan Thaqif Bahter Nasir (gambar) yang berusia 18 tahun itu memperoleh keputusan cemerlang 9A+ dalam SPM dan Anugerah Kepujian dalam peperiksaan semester yang lalu di KMB.
Anak kepada pasangan doktor dan guru itu ditawarkan mengikuti jurusan Baccalaureate Antarabangsa (IB) di KMB selepas memperoleh keputusan cemerlang 6A dalam Program Cambridge International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) ketika di Tingkatan Empat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit, Perak pada 2017.
Biarpun sudah berjaya mendapat tempat di kolej tersebut, pemuda yang berasal dari Pekan, Pahang itu nekad menduduki SPM sebagai calon persendirian kerana berhasrat untuk berkhidmat di sektor awam suatu hari nanti.
“Saya fikir jika saya miliki SPM, peluang saya untuk menyambung pelajaran dalam bidang yang saya minati lebih cerah.
“Saya bercita-cita ingin menjadi seorang saintis yang berkaitan dengan bidang fizik,” katanya kepada mStar Online, Isnin.
Muhammad Ihsan Thaqif (kiri) bersama rakan-rakan pada sebuah majlis makan malam tahunan bersama rakan-rakan MRSM.
Agak mengejutkan apabila Muhammad Ihsan Thaqif berkata dia tidak memiliki resipi kejayaan yang khusus untuk mencapai keputusan cemerlang itu, namun mengakui banyak mengorbankan waktu rehat dan riadah demi mengulang kaji pelajaran.
“Sebenarnya, apa-apa tips pun tidak akan menjadi kerana semuanya bergantung kepada individu itu sendiri.
“Jangan terhadkan diri anda untuk capai kejayaan seperti saya jika anda boleh lakukan lebih daripada itu. Jadi diri sendiri dan ketahuilah bahawa gred bukanlah segala-galanya,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.
Pencapaian menakjubkan remaja itu tular pada Sabtu selepas ia dimuat naik oleh seorang pengguna Instagram, Nur Anis Aqilah yang mendakwa merupakan rakan sekolejnya.
Dalam postingnya, Nur Anis Aqilah memperkenalkan Muhammad Ihsan Thaqif sebagai ‘lelaki dari planet lain’ dan menterjemahkan kekagumannya dengan bertanya adakah dia seorang manusia biasa. Malah dia juga bertanya kepada rakannya itu ‘makan apa weh pandai sangat ni?’.
“Dia berusia 17 tahun ketika mula masuk ke KMB pada Julai 2017 dan seorang pemegang biasasiwa Majlis Amanah Rakyat (Mara).
“Walaupun sudah memasuki kolej, dia masih perlu menduduki SPM dan peperiksaan SPM berakhir sehari sebelum peperiksaan semester kami bermula,” tulisnya.
Jelas gadis itu, Muhammad Ihsan Thaqif terpaksa mencuri masa untuk mengulang kaji sembilan mata pelajaran SPM dan enam lagi subjek dalam jurusan IB secara serentak.
Kejayaan pelajar cemerlang itu turut mendapat perhatian selebriti dan usahawan, Neelofa yang menyifatkan kejayaannya itu adalah bukti kejayaan akan datang seiring dengan kerja keras.
“Budak lelaki ini ialah bukti jika anda bekerja keras, berterusan dan konsisten serta tidak putus asa, semuanya akan membuahkan hasil.
“Kejayaan tidak akan datang kepada anda, anda yang perlu pergi ke arahnya. Menakjubkan, kisah inspirasi dan semoga maju jaya kepada pelajar pintar ini!,” tulis pengacara itu pada posting yang dimuat naik di Instagram pada Isnin. – mSTAR
KOMEN