KUALA LUMPUR – Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Malaysia (Darussyifa’) dalam perancangan menubuhkan sebuah universiti khusus sebagai pusat pengajian perubatan Islam pertama di negara ini.
Pengerusinya Abdul Rahman Ahmad berkata, pihaknya melakukan perancangan teliti merealisasikan penubuhan universiti itu, sekali gus mengembangkan ilmu perubatan Islam berdasarkan Ruqyah Syariah.
Beliau berkata, bagi tujuan itu pihaknya bekerjasama dengan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) khususnya bagi merangka modul pengajian peringkat diploma dan ijazah sarjana muda.
“Kami menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan KUIS mengenai penyediaan tenaga pengajar.
“Selain itu, kami menubuhkan koperasi dan Yayasan Darussyifa’ bagi mengumpul dana membina institusi pengajian tinggi (IPT) itu kelak.
“Sekarang ini kami menunggu wang dikumpul disalurkan pembinaan universiti, namun mengambil masa bagi memohon pengecualian cukai,” katanya ketika ditemui pada majlis Perasmian Penutup Kursus Asas Haji 1439H/ 2018 dan Dua Hari Bersama Darussyifa di Masjid Ar Rahman di sini.
Hadir merasmikan majlis itu Timbalan Ketua Bahagian UMNO Bahagian Lembah Pantai Datuk Ramlan Askolani.
Abdul Rahman berkata, perancangan itu dianggap sebagai penyambung perjuangan pengasas persatuan berkenaan Allahyarham Datuk Dr Haron Din yang mahu mengembangkan ilmu perubatan Islam.
“Usaha ini dilihat tidak sukar kerana Darussyifa’ mempunyai ramai pelajar dan terus menjadi tumpuan bagi yang mahu mendapatkan rawatan alternatif selepas ditubuhkan 30 tahun lalu,” katanya.- HARIAN METRO
KOMEN