LOS ANGELES: Dua wanita ditahan semalam kerana memecah masuk ke sebuah pusat Islam di Arizona dan merakam diri mereka membuat kenyataan menghina Islam, kata polis.
Jurucakap polis tempatan, Ron Elcock dalam satu kenyataan berkata, Tahnee Gonzales dan Elizabeth Dauenhauer ditahan kerana jenayah kecurian darjah ketiga selepas siasatan mendedahkan, mereka menceroboh Pusat Islam Tempe dan mengambil beberapa barangan.
“Berdasarkan butiran jenayah, peningkatan jenayah kebencian itu akan dipertimbang untuk hukuman,” katanya.
Wanita terbabit menghantar beberapa video di Facebook menunjukkan mereka memecah masuk ke dalam pusat berkenaan, membuat kenyataan menghina Muslim dan menggalakkan anak-anak mereka mengulanginya.
Pengarah hubungan antara fahaman pusat itu yang juga imam, Ahmad Al-Akoum, berkata, insiden itu berlaku pada pagi 4 Mac lalu apabila tiada sesiapa dalam premis.
Seorang wartawan tempatan melihat video itu dan memaklumkan pihak masjid, yang kemudian memeriksa rakaman pengawasan melihat wanita itu mengambil salinan al-Quran serta risalah serta mengoyakkan maklumat dilekatkan pada papan buletin.
Pihak berkuasa masjid kemudian menghubungi polis.
“Mereka mengajar anak-anak menjadi pembenci, ia agak mengganggu,” kata Al-Akoum mengenai wanita terbabit.
Katanya, masjid itu dan yang lain di sekitar Phoenix kerap diganggu secara berterusan sejak 2001, merujuk serangan 11 September. -AFP
KOMEN