Belai tubuh dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, memang idaman setiap wanita. Tidak kira sama ada suri rumah atau berkerjaya, peluang menikmati terapi tubuh dalam suasana tenang mampu memberi kepuasan serta menarik lebih banyak aura positif dalam diri.
Tidak perlu berpanas terik dari salun ke spa penjagaan tubuh, Suri Hair & Beauty SPA menawarkan segala-galanya di bawah satu bumbung. Terletak di Bandar Baru Bangi, spa ini mula dibuka pada 2007.
Pemiliknya, Safi Abd Rahman berkata, kesukaran mencari salun rambut Muslimah suatu ketika dulu mencetuskan idea untuk dirinya berkecimpung dalam bidang rawatan kecantikan.
“Jika dulu, pilihan yang ada terhad. Kebanyakan wanita, termasuk saya sendiri terpaksa ke salun pemilik bukan Islam untuk mendapatkan rawatan wajah dan badan. Tetapi, apabila timbulnya banyak kesedaran mengenai batas aurat antara wanita Islam dan bukan Islam, maka salun dan spa di Bangi menjadi antara lokasi tumpuan,” katanya.
Bercerita mengenai rawatan popular di spa miliknya, Safi berkata, ramai yang memuji pakej 4 Langkah Thai Spa yang ditawarkan, selain khidmat urutan Malaysia dan mandian krim.
“Rawatan 4 Langkah Thai Spa ini merangkumi ritual penjagaan kaki, pupur herba dua dalam satu, lulur, mandi wap, urutan herba Thai dan diakhiri dengan urutan menekan badan.
“Pakej rawatan ini bukan saja menenangkan, malah menyegarkan setiap inci tubuh. Kebanyakan wanita yang mencuba rawatan ini akan berasa lebih lapang dan minda lebih segar.
“Untuk kesan jangka panjang, rawatan ini juga mampu membantu menghilangkan tekanan, menangani kesukaran untuk tidur, masalah bau badan, lenguh bahu serta pening,” katanya.
Meneliti segenap ruang spa, pusat rawatan ini sesuai dikunjungi semua peringkat umur, tidak kira sama ada bayi, kanak-kanak, remaja, wanita mahupun warga emas.
Selain rawatan kecantikan, Safi turut mengadakan kelas kebersihan diri dan penjagaan kulit yang memfokuskan kepada remaja dan anak gadis di peringkat umur belasan tahun.
“Saya cuba ketengahkan konsep Inggeris kontemporari yang disesuaikan dengan keselesaan pelanggan. Sebaiknya, saya tidak mahu pelanggan merasa terlalu mewah hingga takut untuk membuat rawatan di sini. Konsep ini diadun bersama bunyi air dan kicauan burung untuk menaikkan mood tenang.
“Pada permulaan sesi rawatan, tetamu akan dihidangkan dengan minuman selamat datang. Mereka boleh memilih sama ada minuman herba atau air suam. Selepas tetamu bersedia, rawatan akan dimulakan dengan rendaman kaki dalam air herba dan limau bagi menenangkan diri,” katanya.
Jelas Safi, pupur badan biasanya dimulakan kira-kira 15 minit selepas rendaman kaki untuk menegangkan kulit. Rawatan itu disusuli lulur tubuh untuk menanggalkan dan menghilangkan sel kulit mati.
“Tetamu akan menikmati mandi wap herba selama 20 minit bagi membuang toksid dalam badan dan mengaktifkan sistem perpeluhan. Selepas membilas tubuh, barulah urutan dimulakan dengan minyak herba dan diakhiri dengan urutan menekan badan yang menenangkan,” katanya.
Tambahnya, rawatan itu sesuai dilakukan setiap bulan bagi mengelakkan tekanan dan menggalakkan kesihatan tubuh secara menyeluruh. Sementara sesi urutan pula mampu membantu melancarkan peredaran darah. – HARIAN METRO
KOMEN