Susunan HASHIM AHMAD
Sombong, bongkak, angkuh atau takbur mempunyai satu pengertian yang sama, iaitu tergolong dalam sifat mazmumah (sifat tercela dan keji). Sekelumit sifat itu menjadi kebencian dan kemurkaan Allah serta boleh menghalang kita mendapat balasan syurga.
Dalam hal ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya mereka yang sombong untuk taat sebagai hamba-Ku, mereka akan masuk neraka jahanam sebagai makhluk yang hina”. (al-Mukmin: 60)
Sifat sombong atau takbur boleh dikenali melalui dua sikap melalui perlakuan lahiriah dan batinnya. Takbur lahiriah boleh dilihat melalui percakapan dan tindakan. Gayanya angkuh, lidahnya tajam, mudah menghina orang yang dianggap lebih rendah ilmu pengetahuan daripadanya. Kadangkala ia boleh dilihat melalui percakapan iaitu tidak mahu mengaku kalah, menganggap dirinya sentiasa benar dan tidak mahu mendengar atau tidak mahu mengikut nasihat orang lain.
Imam Al-Ghazali berkata, “Orang yang takbur marah apabila ditegur sedangkan kalau ia menegur orang lain, caranya keras dan kasar.”
Takbur batin adalah membesarkan diri dalam hati dan ini adalah maksiat hati yang dicela. Contoh jelas tentang sifat sombong, bongkak, angkuh dan takbur ini diabadikan dalam al-Quran melalui kisah iblis dengan Nabi Adam AS serta iblis dengan Qarun . Iblis bersikap sombong dan takbur kerana ia dijadikan daripada api. Iblis merasa dirinya lebih mulia, lebih utama dan lebih agung daripada Adam AS. Iblis telah tidak menghargai dan menghormati Allah SWT; Zat yang lebih tinggi darjah dan kemampuan berbanding apa yang ada padanya.
Allah memerintah para malaikat supaya segera bersujud kepada Adam AS sebagai penghormatan bagi makhluk Allah itu.Tetapi iblis membangkang dan enggan mematuhi perintah tersebut. Sikap dan perlakuan iblis yang angkuh, bongkak, sombong dan takbur untuk sujud kepada Nabi Adam seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT telah menyebabkan iblis diusir keluar daripada Syurga – keluar daripada barisan malaikat. Iblis dan seluruh keturunannya dikutuk dan dilaknat oleh Allah hinggalah ke hari Kiamat.
Perlakuan iblis ini diulangi dalam sejarah manusia yang diabadikan dalam al-Quran dalam kisah Qarun. Qarun adalah salah seorang daripada kaum Nabi Musa AS. Ia dikurniakan kelapangan rezeki dan kekayaan harta benda yang tidak ternilai banyaknya. Hidupnya yang berada dalam keadaan mewah itu telah menjadikannya bersikap sombong, bongkak, angkuh dan takbur dan tidak tahu bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah SWT kepadanya.
Nasihat yang baik dan peringatan jujur yang dikemukakan kepadanya sedikit pun tidak diambil endah oleh Qarun. Qarun juga telah mengatakan bahawa harta yang dimilikinya itu adalah hasil dari kecekapan dan kepandaiannya berusaha bukannya hasil dari pemberian atau kurniaan daripada sesiapa pun. Dia bebas menggunakan harta kekayaannya mengikut kehendak hatinya sendiri. Akhirnya kekayaan Qarun itu dihancurkan Allah. Allah telah menurunkan balasan-Nya dan Qarun telah ditelan bumi bersama keluarga dan harta yang dimilikkinya.
Orang yang takbur tidak mempedulikan perintah Allah, tidak menghiraukan ancaman-Nya dan memandang rendah segala syariat dan peraturan-Nya. Dia juga enggan mengikut petunjuk dan sunnah Rasulullah SAW. Mereka juga berasa diri mereka lebih tinggi daripada orang lain kerana menganggap diri mereka lebih berilmu, kaya dan berpangkat sedangkan manusia dijadikan sama di sisi Allah.
Penyakit Hati
Takbur adalah penyakit hati yang bahaya. Orang yang berpenyakit hati tidak boleh menjadi pendakwah kerana tindak-tanduknya akan menampakkan akhlaknya yang buruk. Lebih bahaya lagi, jika dia mewakili jemaah kerana nama jemaah akan turut mendapat tempiasnya. Imam al-Ghazali memberi beberapa panduan untuk mengelakkan sikap takbur yang ada dalam diri manusia, iaitu :
- Apabila berjumpa kanak-kanak, anggaplah mereka lebih mulia daripada kita kerana kanak-kanak belum dibebani dosa.
- Apabila berhadapan dengan orang tua, anggaplah mereka juga lebih mulia kerana mereka lebih lama beribadah daripada kita.
- Apabila berjumpa orang alim, anggaplah dia lebih mulia kerana banyaknya ilmu didadanya.
- Apabila melihat orang jahil, anggaplah mereka lebih mulia kerana berbuat dosa kerana kejahilan sedangkan kita melakukan dosa dalam keadaan mengetahuinya.
- Apabila berjumpa orang jahat, jangan anggap kita Tetapi, katakan, mungkin orang jahat itu akan bertaubat pada masa tuanya, sedangkan kita belum tahu bagaimana akhirnya kehidupan kita.
- Apabila bertemu orang kafir katakan, belum tentu dia akan kafir selama-lamanya.
Menyedari hakikat peri bahayanya memiliki sifat mazmumah yang tercela, dikeji, dibenci dan dimurkai Allah SWT, maka setiap insan hendaklah berusaha untuk menjauhi sifat sombong, angkuh, bongkak dan takbur ini. Moga-moga dengan berbuat demikian, kita dapat hidup senang di dunia dan berbahagia pula di akhirat kelak. Insya-Allah. – MAJALAH DAKWAH
Hashim Ahmad ialah pesara guru, Yayasan Islam Kelantan
KOMEN