Home » Langit Terbuka » Masjid dekati masyarakat Cina

Masjid dekati masyarakat Cina

KAUM Cina ditunjukkan kaedah bersolat jemaah.  Foto : Utusan

TASEK GELUGOR 12 Mac – Sejak lebih 50 tahun lalu, laungan azan subuh yang berkumandang dari Masjid Jamek di sini akan mengejutkan Ng Ah Lam daripada tidurnya.

Selesai bersarapan dan menyi­ram pokok bunga, wanita itu kemudian akan mengayuh basikal ke pasar yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya untuk membeli barangan keperluan harian.

Dalam perjalanan ke pasar pula, wanita itu akan melewati kawasan masjid berkenaan yang mula digunakan penduduk Islam di kawasan sekitar sejak tahun 1930-an.

Ah Lam, 70, berkata, selama ini, dia hanya memerhati masjid berkenaan ‘dari jauh’ dan tidak pernah terfikir masuk ke kawasan yang dianggapnya hanya untuk orang Islam.

“Saya takut hendak masuk ke­rana mungkin kena marah, lagi­pun tidak pernah dijemput.

“Bagaimanapun, beberapa hari sebelum sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini, ahli jawatankuasa masjid menjemput saya hadir meraikan perayaan itu.

“Saya pada mulanya tergamam dan tidak percaya kerana bagi saya adalah mustahil masjid mahu mengadakan majlis sambutan untuk orang Cina,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Ah Lam merupakan salah seorang daripada lebih 30 tetamu istimewa yang terdiri daripada kaum Cina di pekan berkenaan yang diraikan oleh pengurusan masjid itu.

Bercerita lanjut, Ah Lam menjelaskan, dia sebenarnya mempunyai ‘sejarah’ dengan agama Islam apabila anak perempuannya turut memeluk agama ber­kenaan.

“Sebenarnya tidak ada masalah kerana apa yang saya perhatikan, anak perempuan bahagia dengan perkahwinannya kerana suami­nya menjaganya dengan baik, mereka turut melawat saya ketika perayaan Tahun Baharu Cina” katanya.

Berkenaan majlis itu, Ah Lam berkata, dia gembira kerana berpeluang mengenali jiran-jirannya dengan lebih rapat.

“Jawatankuasa masjid menyediakan makanan Melayu untuk kami selain memberi saya angpau,” katanya.

Seorang lagi tetamu, Tan Chooi Tit, 51, turut berkongsi kete­rujaan menghadiri majlis berkenaan yang disifatkan berlangsung dalam suasana cukup harmoni.

Chooi Tit yang bekerja sebagai penyelia kilang dan sudah 10 tahun menetap di kawasan itu berkata, inisiatif pihak pengurusan Masjid Jamek Tasek Gelugor itu perlu dipuji kerana menghantar pesanan positif kepada rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang supaya masyarakat dapat saling mengenali dan menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, jurulatih kecergasan, Ooi Chooi Beng, 36, berkata, program berkenaan dapat meruntuhkan tembok perbezaan antara orang Islam dan bukan Islam.

“Alhamdulillah sejak menja­di saudara baharu lebih kurang enam bulan lepas, banyak yang saya belajar tentang fungsi masjid dan program sebegini sudah semestinya akan membuka hati banyak pihak kepada Islam,” katanya.

Pada masa depan, Chooi Beng yang turut menganggotai Angkatan Skuad Mubaligh Malaysia cawangan negeri ini berkata, dia bersedia untuk terlibat dengan lebih aktif untuk menjalankan program seumpama itu. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *