ALOR GAJAH: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) menyenaraikan, lima langkah wajar dilakukan masyarakat secara berterusan, bagi mengurangkan karbon dioksida serta mengurangkan bebanan sumber air negara.
Ketua Setiausaha KeTTHA, Datuk Seri Dr Zaini Ujang, berkata lima kaedah itu adalah penggunaan plastik biodegradasi, bijak mengambil wuduk dengan air minimum, tidak mandi terlalu lama, menanam pokok serta berjalan ke lokasi berdekatan berbanding menaiki kenderaan.
“Penjagaan alam sekitar boleh dilaksanakan dengan berkesan sekiranya masyarakat melakukan lima langkah penting dengan baik dan berterusan, sekali gus mengurangkan karbon dioksida.
“Lima kaedah boleh membantu itu adalah menggunakan plastik biodegradasi, bijak dalam mengambil wuduk dengan air yang minimum, tidak mandi terlalu lama, penanaman pokok dan memilih untuk berjalan kaki ke lokasi berdekatan, berbanding menaiki kenderaan.
“Saya lihat golongan muda mulai sedar dengan kempen seumpama ini dan jika ia dilaksanakan secara berterusan, kita boleh melindungi alam sekitar dari kerosakan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Sesi Dialog Transformasi Nasional (TN50) dan Pelan Induk Teknologi Hijau (GTMP) Malaysia 2017-2030 anjuran Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dengan kerjasama KeTTHA di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, di sini, hari ini.
Seramai 1,000 peserta terdiri daripada pelajar sekolah dan kakitangan awam menyertai program yang berlangsung selama dua jam itu.
Sesi dialog berkenaan akan menjelajah ke Johor, Perak, Pahang dan Sarawak selepas ini.
Zaini berkata, kementerian juga menyasar 50 peratus penggunaan semula bahan enap cemar dan satu pertiga penggunaan semula efluen terawat menjelang tahun 2030.
“Kita memberi fokus kepada penggunaan air kumbahan terawat dari loji rawatan kumbahan sebagai satu daripada sumber air utama bagi mengurangkan tekanan ke atas sumber air sedia ada.
“Di bawah Pelan Induk Teknologi Hijau (GTMP), kita juga menyasar pengurangan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) kepada 25 peratus menjelang tahun 2020 dan 15 peratus menjelang tahun 2030,” katanya. – BERITA HARIAN
KOMEN