Home » Langit Terbuka » Islam terus tumbuh di Rusia

Islam terus tumbuh di Rusia

Muslim Rusia bersolat di perkarangan sebuah masjid di Moscow.

MOSCOW – Populasi Muslim di Rusia terus meningkat dari tahun ke tahun, dan sehingga kini terdapat 25 juta orang Islam di negara berkenaan.

Mufti Rusia, Sheikh Rawil Gaynetdin berkata, terdapat dua faktor yang menyebabkan populasi Muslim di Rusia terus meningkat.

“Pertama, kerana kadar kelahiran yang tinggi di kalangan keluarga Muslim dan kedatangan atau migrasi orang-orang Islam dari Asia Tengah,” katanya seperti yang dilaporkan dari Anadolu Agency.

Sheikh Gaynetdin berkata, sebahagian besar umat Islam di Rusia tinggal di wilayah Mocsow dan daerah metropolitan lainnya, seperti St.Petersburg dan Yekaterinburg.

Beliau menjelaskan, tumpuan penganut Islam turut tertumpu di wilayah-wilayah yang sememangnya bekas negara Islam sebelum terbentuknya Kesatuan Rusia seperti wilayah Tatarstan, Bashkortostan dan Caucasus Utara.

Menurutnya, sejarah perkembangan Islam di Rusia memang cukup panjang bermula pada abad ketujuh apabila pengikut Nabi Muhammad SAW datang ke Rusia 22 tahun setelah baginda wafat.

“Mereka datang ke sebuah kota yang ketika ini dikenali sebagai Derbent, Dagestan Selatan. Malahan, azan pertama di Rusia adalah di tanah Dagestan,” jelasnya.

Sheikh Gaynetdin berkata, majoriti Muslim Rusia adalah berfahaman Sunni dari mazhab Hanafi dan sebahagiannya bermazhab Syafii.

Beliau berkata, bagaimanapun penganut Syiah juga terdapat di Rusia terutamanya orang-orang Azeris dan Tajik dari Pamir, tetapi jumlah mereka sedikit.

“Sebagian besar Syiah tinggal di Derbent, Dagestan Selatan,” katanya.

Menurutnya, umat Islam di Rusia sangat toleran, dan mereka menghormati agama lain, serta mazhab-mazhab berlainan dalam Islam.

“Kami tidak membahagikan Muslim sebagai Syiah atau Sunni, kerana kami semua adalah umat Muslim yang bersatu,” ujar Sheikh Gaynetdin.

Sistem pentadbiran Muslim Rusia terdiri dari tiga pusat iaitu di Moscow melalui Dewan Mufti Rusia, di Ufa terdapat Pihak Berkuasa Spiritual Muslim dan di Caucasus, yang bertindak sebagai pusat koordinasi Islam di Caucasus Utara. – REPBULIKA

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *