KUALA LUMPUR: Tidak dinafikan komputer riba merupakan keperluan dan bukan lagi kehendak pada masa kini, terutamanya bagi mahasiswa di universiti.
Namun begitu, masih ramai lagi mahasiswa universiti yang tidak mampu untuk memiliki komputer riba mengikut spesifikasi yang diperlukan untuk pengajian.
Dari situ, timbulnya inisiatif dan idea oleh seorang pelajar jurusan Ekonomi, Universiti Malaya, Aali Hatta, untuk mewujudkan program ‘Laptop for the needs’ dengan usahasama badan bukan kerajaan (NGO) Teach For The Needs.
“Konsep ‘Laptop for the needs’ ini adalah memberi pinjam komputer riba kepada yang memerlukan mengikut terma dan syarat yang dikenakan oleh peminjam.
“Proses pinjaman ini akan berlaku sepanjang satu semester dan akan dipulangkan kembali untuk kegunaan pelajar lain.
“Setakat ini kami telah memberi dua komputer riba kepada pelajar yang layak setelah melakukan beberapa tapisan permohonan,” katanya yang juga mempunyai kepakaran dalam membaiki komputer riba.
Beliau berharap agar konsep ini dapat juga diperluas di univerisiti yang lain, kerana ia dilihat memberi kesan positif dalam usaha mengurangkan beban mereka.
Hasmah, pelajar tahun kedua jurusan Kewangan yang menerima bantuan komputer riba konsep ‘Laptop for the needs’ ini berkata, sebelum ini dia menghabiskan banyak masa di fakulti untuk menggunakan komputer bagi menyiapkan pembentangan.
“Kadang-kadang, saya duduk di perpustakaan utama untuk menggunakan komputer di sana sehingga perpustakaan tutup.
“Saya juga pernah menebalkan muka mengetuk pintu bilik jiran untuk meminjam komputer riba milik mereka bagi mengakses kuiz atas talian, tetapi malangnya tiada yang dapat membantu.
“Akhirnya, markah untuk ujian dan kuiz atas talian saya kosong,” katanya.
Sebarang pertanyaan lanjut tentang Projek “Konsep ‘Laptop for the needs’ ini boleh terus menghubungi Aali Hatta atau Teach For The Needs di laman Facebook. – ASTRO AWANI
KOMEN