Home » Langit Terbuka » Sebar berita palsu boleh jadi munafik

Sebar berita palsu boleh jadi munafik

Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir.

KUALA LUMPUR: Perbuatan menyebarkan maklumat palsu boleh meletakkan seseorang individu Islam menjadi munafik.

Sehubungan itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir meminta masyarakat mengamalkan prinsip ‘taabayun’ atau membuat siasatan terlebih dulu terhadap maklumat yang diterima sebelum ia disebarkan.

Dalam Islam, beliau berkata, al-Quran sememangnya meletakkan satu prinsip atau asas untuk menapis maklumat sekiranya ia disampaikan oleh seorang yang fasik.

“Sekiranya kita tahu seseorang itu suka menipu, tidak jujur, maka prinsip untuk melakukan tabayyun atau membuat semakan itu penting.

“Ia tidak hanya terpakai kepada seorang yang fasik saja, sebaliknya untuk semua agar kita melakukan semakan terlebih dulu sesuatu maklumat yang diterima.

“Ini kerana ada kemungkinan seseorang itu tersalah menyampaikan berita yang tidak betul dan tidak berniat untuk menipu,” katanya.

Beliau menjadi ahli panel pada Forum Bicara BH siri kedua yang mengupas isu berkaitan kesan perkongsian maklumat dan berita palsu di Balai Berita di sini, hari ini.

Yang turut menjadi ahli panel adalah Ketua Pegawai Sektor Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin serta Pengerusi Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Datuk Ahmad Izham Omar.

Forum bertajuk “Tidak Pasti Jangan Kongsi” itu adalah anjuran BH dengan kerjasama SKMM bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kesan perkongsian maklumat palsu terhadap ekonomi, keselamatan dan keamanan negara selain menjejaskan reputasi individu.

BH mengambil inisiatif menganjurkan program berkenaan sebagai platform untuk memupuk budaya perkongsian ilmu dan memainkan peranan dalam menyediakan kandungan berbentuk intelektual, informatif dan terkini.

Mohammad Nidzam berkata, prinsip tabayyun juga penting demi menjaga aib dan keburukan seseorang.

Katanya, walaupun maklumat itu dirasakan benar, ia tetap tidak dibenarkan dalam agama sekiranya apa yang disebarkan boleh menjatuhkan maruah dan air muka seseorang.

“Agama menyuruh kita menutup keaiban sendiri, apatah lagi mendedahkan aib orang lain. Dalam hadis menyebut, sekiranya seseorang itu menutup aib orang lain, maka Allah akan tutup aibnya di akhirat nanti,” katanya. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *