Home » Langit Terbuka » 29 tahun kekal daif

29 tahun kekal daif

SEBAHAGIAN pelajar terpaksa meniarap ketika sesi pembelajaran di KAFA Masjid An Nur. Foto : Harian Metro

KEPALA BATAS: Beroperasi sudah memasuki tahun ke-29, namun infrastruktur dan kemudahan di Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) Masjid An Nur, Jalan Rantau Panjang, di sini masih berada di takuk lama.

Tinjauan mendapati 153 murid yang menuntut ilmu agama di situ terpaksa belajar dalam keadaan serba kekurangan apabila kebanyakan bilik darjah tidak mempunyai kelengkapan meja dan kerusi secukupnya.

Paling menyedihkan, ruang bilik darjah yang sempit dan tidak cukup juga menyebabkan ada antara mereka perlu belajar di ceruk dapur bahkan berdekatan dengan tandas hingga berada dalam keadaan tidak selesa.

Guru Besarnya, Fauziah Ismail, 53, berkata, masalah kekurangan kemudahan dihadapi KAFA terbabit sudah diadukan kepada pihak berwajib, namun sehingga kini masih tidak mendapat reaksi positif berhubung bantuan yang diusulkan.

“Kita sedih melihat keadaan murid yang terpaksa meniarap ketika hendak belajar dan menulis berikutan KAFA ini tidak dapat menyediakan kerusi serta meja secukupnya.

“Ini belum kira lagi murid terpaksa belajar di dalam khemah di luar masjid dan ada yang belajar di ceruk dapur serta dekat dengan tandas kerana KAFA ini tidak ada bangunan sendiri dan hanya menumpang sepenuhnya di masjid ini sejak 29 tahun lalu,” katanya di sini, semalam.

Katanya, KAFA berkenaan ada menyediakan peralatan kerusi dan meja, namun ia terhad memandangkan dibeli menggunakan yuran yang dibayar ibu bapa.

“Kita minta izin untuk membeli peralatan ini dengan yuran bulanan kerana mahu murid dapat belajar selesa tetapi ia tidak dapat dibeli dengan kuantiti banyak kerana ada perkara lebih penting perlu difikirkan apatah lagi wang itu adalah amanah ibu bapa,” katanya.

Fauziah berkata, dia yang mengambil alih pentadbiran KAFA sejak 2006 berurusan dengan pihak kariah masjid bagi mendapatkan bantuan supaya memperoleh bangunan lebih selesa, namun masih tidak berjaya.

“Setiap kali pengurusan masjid mengajukan soalan dan meminta pertolongan pihak berkenaan semuanya memberi alasan bahawa terdapat masalah berkaitan hak milik tanah hingga tidak dapat berbuat apa-apa.

“Jika tidak dapat menaik taraf dan membaikpulih kemudahan dekat sini, kita berharap ada bangunan lain dapat diberikan bagi membolehkan anak kariah mendapat pendidikan agama,” katanya.

Katanya, meskipun murid terpaksa belajar dalam keadaan serba kekurangan, dia tetap berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan apabila 10 orang memperoleh keputusan 8A dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) tahun lalu.

Sementara itu, Pengerusi Kariah Masjid Rantau Panjang, Rosli Hamid, 65, berkata, beliau kini sedang meneliti tanah yang sesuai untuk dibangunkan KAFA di kawasan itu.

“KAFA di kariah ini menjadi tumpuan apabila kebanyakan ibu bapa memilih untuk menghantar anak mereka menuntut ilmu agama di sini.

“Walaupun pada setiap tahun, saya mengajukan masalah yang dihadapi, saya tidak akan mengalah dan kini sedang mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap permasalahan ini,” katanya. – HARIAN METRO

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *