Home » Analitis » Terhakisnya nilai-nilai kemanusiaan

Terhakisnya nilai-nilai kemanusiaan

TUJUH abad yang lalu Jalaluddin Rumi penyair sufi besar dalam karyanya yang teragung mengungkapkan, ”Jika tiada cinta, dunia akan membeku”.

Cinta baginya adalah penaka lautan luas dan dalam, seluas dan sedalam daya jelajah nurani manusia itu sendiri. Cintalah yang semestinya menjadi penghubung atau kunci utama bagi hubungan antara manusia, antara kebudayaan dan antara sistem hidup yang berbeza.

Jelas sekali hari ini akibat corak hubungan manusia yang terlepas dari panduan cinta dan pertimbangan yang rasional telah membawa manusia kepada kebinasaan dan kehancuran.

Justeru tidak hairanlah apabila negara digemparkan dengan insiden-insiden yang merendahkan martabat manusia. Kes-kes penderaan majikan terhadap pembantu rumah,penderaan keatas anak kandung sendiri sehingga menbawa kepada kematian, penderaan suami ke atas isteri,merogol anak sendiri dan lain perbuatan kejam sesama manusia tanpa perkemanusiaan.

Semuanya itu mencerminkan lunturnya nilai-nilai kemanusiaan yang seharusnya menjadi amalan dan pegangan semua umat Islam.

Hari ini dalam hubungan antara saudara dengan saudara kandungnya, antara kerabat dan saudara dekatnya tidak ada lagi rasa kasih yang mengikat anggota keluarga yang satu, apatah lagi terhadap hubungan dengan sesama manusia di luar ikatan keluarga.

Contoh yang jelas peperangan yang berlaku sesama manusia adalah manifestasi daripada iklim hati yang membeku, kecuali perang untuk membela diri dan membela keadilan yang hakiki.

Demikian juga terhakisnya nilai-nilai kemanusiaan kini telah melahirkan generasi yang sangat tebal sifat-sifat individualistik, generasi muda yang bersikap ‘peduli apa orang lain kata’.

Justeru tidak hairanlah apabila negara digemparkan dengan insiden-insiden yang merendahkan martabat manusia .Begitu juga dengan laporan-laporan peningkatan mendadak kegiatan gengsterisme di kalangan anak-anak sekolah.

Begitu juga dengan konsep kejiranan yang dianjurkan oleh Islam telah jauh diabaikan sehingga jiran sebelah pun tidak kenal dan kalau kenal pun tidak bertegur sapa kerana perbezaan aliran politik. Sedangkan dalam Islam kesempurnaan iman seseorang itu diukur sejauh mana ia dapat menghormati jirannya.

Malah dalam satu hadis riwayat Abu Daud, Tidak beriman seseorang itu jika dia tidur dengan perut yang kenyang di malam hari sedangkan jirannya berlapar.

Demikian juga hari ini dalam hubungan antara saudara dengan saudara kandungnya, antara kerabat dan saudara dekatnya tidak ada lagi rasa kasih yang mengikat anggota keluarga yang satu, apatah lagi terhadap hubungan dengan sesama manusia di luar ikatan keluarga.

Bukan rahsia lagi bahawa bara iman pada zaman moden telah hilang kepanasan dan nyalaannya di dalam hati walaupun mungkin ia belum padam sepenuhnya di dalam kebanyakan hati. Ia dimatikan oleh fahaman materialisme atau dijangkit sejenis sakit iaitu penyakit lalai dan dikuasai nafsu. Suara iman telah meninggalkan sudut-sudut hati dan tidak lagi mempunyai kekuatan dan pengaruh. Pokok iman tidak lagi disirami dengan air yang berjenama takwa.

Cinta adalah akar daripada segala kebaikan dan keutamaan hidup manusia. Justeru, Rasulullah s.a.w. dalam satu hadisnya memberi panduan yang bermaksud:

Tidak beriman seorang di antara kamu sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri. [Riwayat Tabrani].

Namun di saat peradaban manusia semakin materialistik, sombong serta tamak haloba, masih adakah telinga yang mahu mendengar pesan-pesan agung para nabi itu? Dari hakikat ini juga Nabi Isa a.s. dikatakan pernah berpesan, ”Cintailah jiranmu”.

Tidak dinafikan bahawa peradaban yang menguasai arus globalisasi, berkat ilmu dan teknologi moden, adalah peradaban yang lahir dari keadaan hati yang sedang membeku.

Akibat kebekuan hati manusia akan lenyapnya kepekaan terhadap nilai baik dan buruk. Baik dan buruk telah dijadikan barang perniagaan tanpa moral.

Hati yang beku dan tertutup inilah yang dinyatakan dalam al-Quran surah al-A’raf ayat 179 firman Allah yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam itu banyak jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar ajaran dan nasihat.

Hati mereka sudah buta dan sudah tidak berfungsi lagi sebagaimana mestinya. Implikasi kedua akibat kebekuan hati ialah hubungan persaudaraan hanya didasarkan semata-mata atas kekuatan benda dan kepentingan-kepentingan duniawi lain.

Akibatnya suasana persaudaraan umat manusia di dunia terasa begitu kering dan tandus. Umat Islam berpecah belah dan berperang sesama sendiri dan ajaran persaudaraan sejati seperti yang ditekan oleh al-Quran sudah tidak dihirau lagi semata-mata kerana tarikan kepentingan benda dan bangsa yang lebih diutamakan. Malah yang lebih malang, umat Islam semakin gemar untuk bernafsi-nafsi.

Implikasi ketiga akibat kebekuan hati manusia kita dapat lihat dalam bentuk tindakannya yang rakus, baik terhadap benda mahupun terhadap kekuasaan.

Benda dan kekuasaan sesungguhnya apabila jatuh ke tangan hati yang beku akan membawa malapetaka. Kerakusan itu sebenarnya adalah simbol dan struktur batin yang sakit dan tidak bermaya. Malangnya, hari ini banyak sekali manusia tidak mampu melihat bencana yang mungkin ditimbulkan oleh watak manusia yang rakus ini kerana ia ditutupi dengan kekayaan dan kemewahan yang dirangkulnya.

Kedamaian dunia sudah tidak ada lagi, yang ada ialah perniagaan perang lebih diutamakan iaitu perniagaan industri persenjataan daripada perniagaan hati, dan fikiran, simpati dan pengertian.

Umat manusia kini sudah merangkak menuju pintu abad ke-21 dengan perasaan bimbang apakah jeritan fitrah manusia mendapat sahutan di abad ini. – ABABIL

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *