Home » Langit Terbuka » PRB fokus mantap sahsiah

PRB fokus mantap sahsiah

HASANUDDIN HASSAN (duduk, tujuh dari kiri) dan para pegawai kanan polis Kelantan bersama sebahagian daripada pelajar yang menyertai pasukan pelatih PBR di SMK Sri Nipah, Bachok, Kelantan, semalam. - Foto : UTUSAN

Asas agama kuat kekang remaja terlibat gejala tidak sihat

BACHOK 1 Mac. – Pendidikan agama dan pemantapan sahsiah menjadi teras utama dalam mengekang golongan belia daripada terjerumus ke kancah sosial yang tidak sihat.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bergandingan dengan warga pendidik bagi mencapai hasrat tersebut dengan menjayakan Pro­gram Remaja Berwawasan (PRB) di sekolah-sekolah.

Menurutnya, PBR adalah program di bawah Strategi Laut Biru (NBOS) melibatkan PDRM, Ang­katan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata, pelatih terpilih dalam PBR akan dipupuk jati diri, pembentukan sahsiah dan kepemimpinan selain tidak mengabaikan kerohanian bagi mencapai amalan hidup seperti yang digarapkan oleh ajaran Islam.

“Latihan berasaskan modul ini dilaksanakan sebanyak dua kali sebulan melibatkan dua pegawai PDRM sebagai jurulatih dalam tempoh dua tahun.

“Selain PDRM, sebahagian sekolah pula akan dikendalikan pihak ATM,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran PRB di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Nipah, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Nik Aminuddin Raja Ali; Ketua Pegawai Pendidikan Daerah, Mohd. Faizul Yusof dna Penge­tua sekolah berkenaan, Mohd. Radzuan Zakaria.

Terdahulu dalam ucapannya, Hassanudin menasihatkan pelajar agar menjauhi amalan ketagihan dadah dan pil kuda kerana ketagihan sehingga merosakkan moral dan daya fikir seseorang itu hukumnya adalah haram di sisi Islam.

“Jangan musnahkan diri dan masa depan dengan perkara-per­kara yang diharamkan. Ja­ngan sekali-kali mencuba minuman keras dan melakukan se­suatu di luar batasan. Sesungguhnya perbuatan yang haram membawa cela dalam ketamadunan manusia,” katanya.

Hasanuddin berkata, pergaul­an yang melibatkan percintaan sesama pelajar termasuk cinta songsang kesan pengaruh budaya kuning dari Barat juga perlu di­sekat.

“Budaya kuning berkembang dengan mudah kerana maklumat kini hanya di hujung jari yang diselit dan disebarkan menerusi telefon pintar.

Kita tidak nafikan perkenalan pantas menerusi aplikasi sosial boleh membawa seseorang remaja terpedaya dan boleh menggadaikan maruah diri,” katanya.- UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *