SANDAKAN, 23 Feb  — Seramai 60 penduduk kurang berkemampuan di Kampung Sundang Darat Batu Sapi dekat sini menerima sumbangan menerusi Program Sentuhan Kasih Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong, hari ini.
Ia bersempena penganjuran Program Sehati@ RTM ‘Bagus Bah’ yang diadakan di Parlimen Batu Sapi selama dua hari bermula hari ini.
Sumbangan berupa barang keperluan makanan disampaikan oleh Anggota DUN Sekong Datuk Samsuddin Yahya dan Pengarah Yadim Sabah Samin Ongki.
Samsuddin yang ditemui pemberita pada majlis itu menyifatkan program tersebut berupaya membantu melihat keadaan dan keperluan rakyat di akar umbi meliputi semua aspek termasuk memahamkan rakyat tentang usaha mentransformasikan hidup mereka secara efisien, selamat dan kondusif.
Katanya menerusi program itu bukan sahaja dapat menyampaikan sumbangan kepada warga tua dan melawat setiap rumah tetapi turut membolehkan pihaknya membuat bancian setiap warga emas yang memerlukan bantuan.
Dalam pada itu, Samin berkata program tersebut dapat menjalin kerjasama di antara pertubuhan bukan kerajaan dan kerajaan bagi membantu serta mendekati rakyat.
Menurutnya ini adalah satu pendekatan Yadim sebagai agensi dakwah bukan sahaja berceramah tetapi membantu kerajaan bersama-sama wakil rakyat menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan bantuan.
Seorang penerima sumbangan itu, Jainah Mustapa, terharu dengan sumbangan yang diterimanya yang menunjukkan keprihatinan kerajaan menerusi wakil rakyat dan badan bukan kerajaan membantu golongan kurang berkemampuan.
Katanya sumbangan berupa barangan keperluan makanan itu sedikit-sebanyak dapat meringankan beban keluarganya. – Bernama
KOMEN