Home » Langit Terbuka » Myanmar makin melampau

Myanmar makin melampau

Gambar fail - Keadaan perkampungan Rohingya di Rakhine yang musnah beberapa tahun lalu.

BANGKOK 23 Feb. – Selepas didakwa membakar perkampungan etnik Ro­hingya secara besar-besaran, kerajaan Myanmar dilaporkan bertindak meratakan kesemua rumah yang dibakar itu dengan jentolak mengakibatkan kawasan tersebut tidak ubah seperti ‘padang jarak padang tekukur’.

Kumpulan hak asasi manusia mendakwa, kerajaan Myanmar berbuat demikian bagi ‘memusnahkan bukti penting’ terhadap kekejaman dialami etnik Islam Rohingya dalam satu operasi besar-besaran yang bermula sejak Disember lalu.

Imej satelit di negeri bergolak, Rakhine yang diedarkan kepada agensi berita Associated Press oleh syarikat DigitalGlobe dari Colorado hari ini menunjukkan, kira-kira 55 buah kampung dan dusun yang ditinggalkan etnik Rohingya diratakan pihak berkuasa sejak beberapa minggu lalu, lebih besar berbanding yang dilaporkan sebelum ini.

Perkampungan itu dibakar ekoran keganasan Ogos tahun lalu dalam operasi pembersihan pasukan keselamatan sehingga memaksa ratusan ribu etnik Rohingya hidup dalam buangan di Bangladesh.

Ketika kerajaan Myanmar me­nyatakan mereka hanya mahu membina semula negeri yang musnah itu, operasi terbaharu berkenaan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan kumpulan hak asasi manusia yang mendakwa kerajaan cuba memusnahkan bukti jenayah sebelum satu siasatan yang boleh dipercayai diadakan.

Tindakan berkenaan juga me­nimbulkan ketakutan dalam ka­la­ngan etnik Rohingya yang percaya kerajaan Myanmar se­ngaja menghapuskan sisa budaya mereka sekali gus menyukarkan mereka untuk pulang.

Seorang wanita Rohingya yang hilang tempat tinggal selepas kampungnya dibakar berkata, dia kembali untuk melihat kawasan rumahnya di Myin Hlut tetapi terkejut dengan apa yang dilihatnya.

“Kebanyakan rumah yang dibakar tahun lalu kini kesemuanya telah ‘hilang’, termasuk pokok di sekeliling rumah penduduk. Mereka meratakan ke­semuanya dengan jentolak.

“Malah, rumah kosong dan tidak rosak yang ditinggalkan penduduk turut diratakan. Semua kenangan saya di kampung ini te­lah tiada,” kata wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Zubairia.

Pemandangan udara tentang kampung yang diratakan di utara negeri Rakhine itu mula diketahui umum sejak 9 Februari lalu selepas Duta Kesatuan Eropah (EU) ke Myanmar, Kristian Schmidt memuat naik gambar melalui sebuah pesawat dengan menyifatkan bandar Maungdaw sebagai ‘kawasan yang diratakan dengan luas’.

Berdasarkan imej DigitalGlobe, sekurang-kurangnya 28 buah kampung dan dusun diratakan oleh jentolak dan pelbagai jentera berat lain dalam radius 50 kilometer sekitar Maungdaw antara Disember dan Februari.

Malah, di beberapa buah kawasan yang diratakan, pekerja sudah mula membina bangunan baharu atau struktur rumah selain landasan helikopter.

Mengikut analisis serupa oleh Human Rights Watch, sekurang-kurangnya 55 kampung terjejas dengan operasi tersebut.

Kerajaan yang sebelum ini pernah menyuarakan hasrat membangunkan wilayah itu sejak beberapa bulan lalu, dilaporkan giat melebarkan jalan raya, memperbaiki jambatan dan membina pusat perlindungan termasuk sebuah kem transit besar di Taungpyo dekat sempadan Bangladesh.

Kem berkenaan dibuka sejak Januari lalu tetapi tiada pelarian Rohingya mendaftar masuk ke­cuali mereka terus melarikan diri.

Dalam pada itu, seorang pentadbir kerajaan di Maungdaw, Myint Khine mendakwa beberapa rumah baharu yang dibina tersebut adalah untuk etnik Islam Rohingya.

Jurucakap Project Arakan, Chris Lewa yang memantau nasib etnik Rohingya berkata, tindakan kerajaan itu bakal menyukarkan etnik minoriti terbabit menuntut semula tanah mereka.

Dalam perkembangan ber­kaitan, EU akan memulakan pro­ses untuk mengenakan sekatan ke atas jeneral tentera Myanmar ekoran pembunuhan etnik Islam Rohingya dengan meminta ketua dasar luar menyenaraikan nama yang mungkin dikenakan hukuman pada minggu depan. – AGENSI/REUTERS

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *