Home » Langit Terbuka » Namewee ditahan polis

Namewee ditahan polis

Video Namewee bersama penari yang berkepala anjing berlatar belakang bangunan kerajaan, di Putrajaya menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak,

KUALA LUMPUR: Pengarah dan pemuzik kontroversi, Namewee, yang dilapor memuat naik klip video bertajuk ‘Like A Dog’ baru-baru ini, ditahan polis ketika memberi keterangan di Bukit Aman, petang tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata empat laporan polis diterima berhubung klip video berunsur hinaan yang dimuat naik Namewee atau nama sebenarnya, Wee Meng Chee, 34.

“Kita menerima empat laporan berhubung klip video yang didakwa berunsur hinaan terhadap agama dan boleh membawa implikasi negatif kepada perpaduan dan keharmonian kaum.

“Namewee ditahan pada jam 2.45 petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, Namewee ditahan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Namewee sebelum itu dilapor memuat naik status di akaun Facebook miliknya, memaklumkan beliau tampil ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung klip video berkenaan.

Tidak lama selepas itu, entri baharu dimuat naik yang mengesahkan dia ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Muhamad Fuzi Harun, dilaporkan berkata, kertas siasatan sudah dibuka berhubung klip video berkenaan.

Namewee dikatakan memuat naik klip video sempena Tahun Baharu Cina bertajuk ‘Like A Dog’ yang antara lain memaparkan individu memakai topeng anjing dengan tarian lucah berlatar belakangkan bangunan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *