Home » Langit Terbuka » Bilionair sedunia makin kaya

Bilionair sedunia makin kaya

Kemunculan bilionair ini bagaimanapun bukan petanda peningkatan ekonomi, tetapi simptom sistem ekonomi yang gagal. - Gambar hiasan

Mereka sepatutnya mampu akhiri kemiskinan global tujuh kali

EKONOMI global telah mencatatkan rekod baharu bilangan bilionair tahun lalu, sekali gus melebarkan lagi jurang ketidaksamarataan, lapor Bloomberg yang memetik kaji selidik organisasi kebajikan, Oxfam International.

Perkara itu berlaku ketika hak pekerja dilihat semakin lemah manakala tekanan korporat untuk menggandakan pulangan pemegang saham semakin meningkat.

Dunia kini mempunyai 2,043 bilionair, dengan seorang bilionair tercipta selang dua hari pada tahun lalu.

Menurut Oxfam, bilionair yang hampir kesemuanya lelaki itu menyaksikan kekayaan bertambah sebanyak AS$762 billion, iaitu cukup untuk mengakhiri kemiskinan teruk sebanyak tujuh kali.

Berdasarkan data berasingan yang dihimpunkan Bloomberg, nilai kekayaan 500 bilionair teratas berkembang 24 peratus kepada AS$5.38 trilion pada 2017.

Tahun lalu juga menyaksikan pengasas Amazon.com Inc. Jeff Bezos, meraih sejumlah AS$33.7 bilion.

“Kemunculan bilionair ini bagaimanapun bukan petanda peningkatan ekonomi, tetapi simptom sistem ekonomi yang gagal.

“Orang yang membuat pakaian kita, memasang telefon pintar kita dan menghasilkan makanan kita sedang dieksploitasi,” ujar Pengarah Eksekutif Oxfam International,Winnie Byanyima.

Oxfam menerbitkan laporan berkenaan ketika para pemimpin dunia, ketua eksekutif dan pemilik bank berada di Davos, Switzerland sempena sidang tahunan Forum Ekonomi Dunia.

Memandangkan banyak elitis dunia menyatakan bahawa mereka peduli tentang ketidaksamarataan ekonomi, Oxfam pula menegaskan kebanyakan kerajaan di seluruh dunia gagal memperbaiki keadaan itu.

Oxfam menggesa kerajaan dan pemerintah untuk mengehadkan pulangan pemegang saham dan eksekutif, sementara memastikan golongan pekerja menerima wang sara hidup yang sewajarnya.

Organisasi itu juga antara lain mencadangkan agar menghapuskan jurang bayaran antara jantina dan meningkatkan cukai ke atas orang kaya.

“Bersedia untuk berubah. Kita mahukan batas kuasa dan kekayaan, yang kini hanya dimiliki golongan kecil,” ujar Byanyima. – ASTRO AWANI

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *