TINDAKAN pihak berkuasa China melarang golongan muda etnik minoriti Muslim Hui di Guanghe di wilayah Gansu daripada terlibat dalam kegiatan pembelajaran agama di masjid mengundang kebimbangan penduduk di sana lapor Reuters.
Agensi berita itu melaporkan para penduduk bimbang kerajaan China menggunakan kaedah sekatan yang sama terhadap etnik Muslim Uighur di wilayah Xinjiang.
“Etnik Hui mengintegrasikan diri mereka ke dalam masyarakat dan sudah biasa dengan hubungan yang baik dengan kerajaan selama berdekad-dekad.
“Ramai orang Hui tidak begitu mengambil berat ketika pihak berkuasa mengenakan peraturan yang menyamai undang-undang darurat di Xinjiang dengan pusat kawalan polis yang lengkap bersenjata, pusat pemulihan dan pengutipan DNA penduduk secara besar-besaran,” lapor Reuters.
Tetapi pada bulan Januari ini, para pegawai pendidikan dari kerajaan tempatan di daerah Guanghe yang merupakan kawasan penduduk Islam telah mengeluarkan perintah melarang kanak-kanak daripada mengikuti kelas agama semasa cuti Tahun Baru Cina, lapor Reuters.
“Larangan itu berkuat-kuasa selama beberapa minggu sepanjang cuti sekolah yang bermula Khamis lalu.
“Tidak jelas jika larangan itu, sama seperti yang digunakan pihak berkuasa ke atas masyarakat Uighur akan berterusan selepas cuti, tetapi ia kelihatan mengikuti peraturan baru di peringkat nasional yang berkuat-kuasa pada 1 Februari mensasarkan pemantauan pihak berkuasa terhadap urusan agama,” lapor Reuters.
Para penduduk bandar Linxia, ibu kota wilayah Gansu yang bergelar ‘autonomi’ untuk Muslim Hui memberitahu Reuters larangan yang sama juga berlaku ke atas mereka.
“Kami rasa tidak masuk akal dan terkejut,” kata Li Haiyang, seorang imam masjid di wilayah timur Henan dalam sebuah artikel yang beredar di internet, petik Reuters.
Ketika ditanya Reuters, kerajaan tempatan wilayah Linxia yang mentadbir Linxia City dan Guanghe tidak memberikan butiran terperinci berkenaan polisi itu tetapi berkata perlembagaan China memperuntukkan pemisahan agama dan pendidikan.
Laporan itu juga memetik kenyataan State Council Information Office berkata kerajaan China menjamin hak rakyat untuk kebebasan beragama di bawah undang-undang, termasuk kanak-kanak.
“Walaupun melindungi kebebasan beragama dan kepentingan undang-undang kumpulan etnik yang lain mengikut undang-undang, China juga akan tegas menghalang dan menahan keras terhadap penggunaan agama untuk menjalankan aktiviti haram,” katanya dipetik Reuters.
Agensi itu turut memetik pandangan Zhou, seorang Muslim Hui yang belajar lebih 10 tahun untuk menjadi imam di Linxia.
Menurut Zhou, kerajaan salah dalam beranggapan terorisme merebak di kalangan Muslim Hui.
“Keadaan politik di Linxia agak tegang.
“Kemungkinan (keganasan) berlaku hampir tiada kerana kami tidak percaya dengan cara itu. Kami bukan pelampau (agama),” kata Zhou, petik Reuters.- MALAYSIAKINI
KOMEN