Home » Langit Terbuka » Masjid perlu jadi zon penyatuan umat Islam – Asyraf Wajdi

Masjid perlu jadi zon penyatuan umat Islam – Asyraf Wajdi

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

KOTA BHARU, 13 Feb (Bernama) — Peranan masjid perlu diperkasakan sebagai zon penyatuan umat Islam di negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Katanya bagi memastikan perkara itu dicapai, tempat ibadat itu mesti menjadi zon yang bebas daripada sebarang elemen berbentuk kepartian.
“Kita mungkin boleh berbeza pandangan politik tetapi biarlah sekadar di luar masjid. Masjid perlu dijadikan pusat kecemerlangan dan penyatuan umat Islam dan bukan sekadar sebagai tempat ibadat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan ‘One Off’ Kerajaan Persekutuan Kepada Pegawai Masjid Mukim Negeri Kelantan di Masjid Muhammadi di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Yang di Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Nik Mohd Azlan Abd Hadi dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Yahya Mamat.
Sejumlah RM11.7 juta diperuntukkan bagi bayaran khas itu kepada 2,571 imam, bilal, siak dan guru takmir selain 5,251 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Kelantan tahun ini dengan bayaran permulaan RM1,000 seorang hari ini dan selebihnya menjelang Aidilfitri nanti.
Asyraf Wajdi berkata bayaran khas berkenaan satu pengiktirafan kepada golongan itu yang memainkan peranan besar dalam memartabatkan syiar Islam di negara ini.
Sementara itu, Imam Muda Masjid Binjai, Pasir Mas Muhd Affi Mohd Noor, 38, berterima kasih kepada kerajaan kerana setelah 10 tahun berkhidmat, elaun imam sentiasa meningkat dari tahun ke tahun iaitu daripada RM450 sehingga menjadi RM1,300 sebulan pada masa kini.
“Pemberian one off sebanyak RM1,500 seorang sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kos sara hidup keluarga,” katanya.
Seorang bilal, Mohamed Saamoh, 65, bersyukur dengan pemberian tersebut yang membuktikan keprihatinan kerajaan persekutuan khususnya kepada mereka yang bertugas di masjid. — BERNAMA

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *