SHAH ALAM 13 Feb. – Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuka peluang kepada para pelajar lepasan sekolah tahfiz di seluruh negara untuk melanjutkan pengajian mereka diperingkat lebih tinggi di universiti itu.
Naib Canselornya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, usaha itu adalah selaras dengan Dasar Pendidikan Tahfiz yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melahirkan 125,000 golongan huffaz profesional yang mampu menguasai pelbagai disiplin ilmu sekaligus melengkapkan sebahagian sasaran Program Tranformasi Nasional 2050 (TN50).
“Peluang kepada para pelajar aliran sekolah tahfiz ini membuktikan UiTM sentiasa komited menyokong usaha melahirkan lebih ramai profesional Bumiputera selain memastikan mereka terus berdaya saing, berfikiran global dan beretika dalam kalangan huffaz.
“Kita berharap insiatif ini akan melahirkan lebih ramai para graduan yang bukan sahaja mampu menghafal al-Quran, tetapi mampu cemerlang dalam pelbagai bidang ilmu prefesional yang lain sekaligus mengangkat reputasi UiTM sebagai sebuah pusat pengajian tinggi yang terbaik pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai peluang itu, Hassan menyatakan pihaknya membuka tawaran kepada pelajar sekolah aliran berkenaan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti Program Asasi UiTM.
Bagi pelajar lepasan SPM yang memenuhi syarat keperluan program, mereka akan ditawarkan untuk mengikuti kursus pengajian di peringkat diploma yang bersesuaian dengan kelayakan mereka.
“Selain itu, tawaran turut terbuka para pelajar tahfiz berkelulusan diploma aliran agama untuk mengikuti program Ijazah Sarjana Muda di Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM seperti Sarjana Muda Muamalat, Sarjana Muda Pengurusan Halal, Sarjana Muda Bahasa Arab dan Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Perbankan Islam).
“Sementara itu, para pelajar tahfiz dengan keputusan SPM yang tidak memenuhi syarat kelayakan program Diploma di UiTM, mereka boleh memohon program Pradiploma (Sains) atau Pradiploma (Perdagangan) sebelum mengikuti pengajian di peringkat diploma,” jelasnya.
Pada masa sama, UiTM katanya turut menjalankan kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta maahad tahfiz di bawah kerajaan negeri dan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (Pinta) bagi melancarkan proses kemasukan para pelajar lepasan sekolah aliran itu. – UTUSAN ONLINE
KOMEN