Home » Muamalah » Dividen KWSP: Kenapa dividen syariah lebih rendah?

Dividen KWSP: Kenapa dividen syariah lebih rendah?

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan

PADA Sabtu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dua dividen berbeza buat pertama kali dalam sejarah kumpulan itu.

Badan tersebut mengisytiharkan dividen 6.9% bagi Simpanan Konvensional dan 6.4% bagi simpanan syariah, yang juga dividen tertinggi pernah diumumkan sejak penubuhan KWSP pada 1951.

Ini melibatkan pembayaran sebanyak RM44.15 bilion bagi simpanan konvensional dan RM3.98 bilion bagi simpanan Syariah.

Tetapi ramai yang tertanya, mengapa dividen simpanan konvensional melebihi simpanan syariah?

“Aset syariah tidak terdedah kepada sistem perbankan konvensional global seperti bank-bank global dan syarikat insurans global.

“Sektor inilah yang mencatatkan prestasi memberangsangkan pada 2017,” kata Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan dalam satu sidang media hari ini.

Beliau berkata, sebilangan besar bank global tidak mempunyai model kewangan patuh syariah justeru, pulangan pelaburan dari sektor ini tidak boleh disalurkan ke dalam dividen simpanan syariah.

“Banyak susut nilai yang berlaku adalah pada saham patuh syariah, terutamanya saham syarikat minyak dan gas serta telekomunikasi, khasnya di Bursa Malaysia,” tambahnya.

Sambutan Simpanan Syariah perlahan?

Sejak diumumkan pada Jun 2016, 705,485 orang pencarum telah memilih untuk menukar simpanan mereka ke Simpanan Syariah, dari kira-kira 14 juta jumlah pencarum KWSP.

Dari RM100 bilion yang dikhasnya untuk Simpanan Syariah, hanya RM68 bilion telah dilanggan sejak 20 bulan lalu.

“Sebenarnya sambutan ini selaras dengan jangkaan kami. Kami menyediakan RM100 bilion pada 2016 sebagai langkah bersedia sekiranya permintaan jauh melebihi jangkaan kami,” kata Shahril.

Katanya selepas Simpanan Syariah diperkenalkan, KWSP mendapati wujudnya dua golongan pencarum yang mempunyai dua keutamaan tersendiri.

“Sewaktu ia mula dilancarkan, kumpulan 700,000 orang yang menukar ke simpanan syariah ini adalah mereka yang menitikberatkan konsep patuh Syariah.

“Mereka tidak begitu risau dengan jumlah dividen, mereka hanya mahukan produk yang patuh syariah,” katanya.

Dividen lebih rendah dan kesan sentimen terhadap simpanan syariah.

Shahril menjangka pengumuman dividen 6.4% ini akan mendorong sebilangan pencarum menukar simpanan mereka ke simpanan syariah.

“Sambutan perlahan (bagi simpanan syariah) ini mungkin disebabkan pencarum yang menanti pengumuman dividen syariah buat kali pertama, sebelum membuat keputusan untuk menukar kategori simpanan mereka,” katanya.

Malah katanya, sejak pengumuman dividen pada Sabtu, kaunter KWSP di Pantai Timur dan Lembah Klang menerima kunjungan lebih ramai pencarum yang ingin menukar simpanan mereka ke Simpanan Syariah.

“Kami harap dengan pengumuman dividen pertama syariah ini, golongan atas pagar yang ingin memiliki produk syariah tetapi menitikberatkan dividen, akan mula melihat bahawa dividen Syariah sebenarnya baik dan mereka akan mula menukar simpanan mereka,” katanya. ASTRO AWANI

Artikel Berkaitan

Selangor sediakan modul khas pulihkan ahli GISB

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kini dalam fasa memulihkan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *