SUNGAI PETANI 9 Feb. – Tindakan berterusan pihak polis menjejaki seorang pengurus sebuah syarikat pengendali umrah yang disyaki menipu pelanggannya kira-kira sebulan lalu berbaloi apabila dia ditahan di Johor, semalam.
Lelaki berumur lingkungan 30-an itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di rumahnya di Kulai, Johor.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abd. Hamid berkata, penahanan lelaki itu dilakukan susulan laporan polis dibuat enam individu yang mendakwa ditipu sebuah agensi umrah kira-kira sebulan lalu.
“Mangsa menyedari ditipu agensi terbabit selepas mereka terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selama beberapa jam pada 26 Januari lalu kerana mendapati nama masing-masing tidak terdapat dalam senarai penumpang pesawat Emirates Airlines yang sepatutnya berlepas pada pukul 7 malam.
“Mereka juga berasa pelik kerana tidak mempunyai mutawif. Panggilan dibuat terhadap wakil agensi tersebut juga tidak berjawab,” katanya.
Selain enam mangsa terbabit, difahamkan terdapat sembilan lagi individu mengalami nasib serupa namun tidak membuat laporan polis.
Saifi berkata, anggaran kerugian dialami mangsa sebanyak kira-kira RM7,000 setiap seorang dan kesemua mereka berasal dari utara tanah air.
Menurutnya, kebanyakan bakal jemaah umrah itu terpedaya dengan janji manis lelaki terbabit kerana mereka pernah dijemput dalam satu program televisyen untuk mendengar penerangan berkaitan pakej umrah dikendalikannya.
“Proses mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek diusahakan dengan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN
KOMEN