Home » Langit Terbuka » Kertas konsep mata wang kripto akan dimuktamadkan

Kertas konsep mata wang kripto akan dimuktamadkan

SATU kertas konsep mengenai mata wang kripto akan dimuktamadkan bulan ini dan disediakan kepada umum untuk memutuskan masa depan bentuk mata wang ini, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim.

“Pada asasnya, kami akan memastikan promoter mata wang kripto, yang termasuk bitcoin, ethereum dan ripple, untuk menjadi lebih telus, metodologinya telus dan orang yang bertanggungjawab di sebaliknya juga telus.

“Harapnya, dengan berbuat demikian, orang ramai boleh membuat keputusan mengenai sama ada untuk melabur dalam mata wang kripto,” katanya semasa sesi soal jawab pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-40 Harvard Business School Alumni Club of Malaysia.

Kira-kira 250 alumni Harvard Business School menghadiri majlis makan malam itu.

Muhammad berkata, Malaysia mengambil pendekatan sedikit berbeza terhadap mata wang kripto, tidak seperti beberapa negara yang memutuskan untuk melarang penggunaannya.

“Kita tidak akan larangnya buat masa ini, tetapi kita akan biarkan pasaran memutuskan masa depan mata wang kripto. Apa yang paling penting adalah mereka perlu tahu apa yang mereka terlibat,” katanya sambil menambah BNM tidak mengiktiraf mata wang kripto sebagai wang fiat.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Malaysia tidak akan mengenakan larangan sepenuhnya terhadap mata wang kripto kerana ramai pelabur tempatan bertaruh atas kelas aset pelaburan baharu itu dan minat terhadap mata wang yang bebas daripada kawalan kawal selia juga semakin meningkat.

Beliau berkata, larangan ke atas mata wang kripto termasuk bitcoin, hanya akan mengekang inovasi dan kreativiti dalam sektor kewangan, terutamanya teknologi kewangan.

Setakat September 2017, terdapat lebih 1,100 mata wang digital wujud.

Mata wang kripto biasanya digunakan di luar institusi kerajaan dan perbankan yang sedia ada dan ditukarkan melalui Internet.

Terdahulu, Muhammad juga berkata, berdasarkan data, ramai orang, berusia antara 35 dan 45 tahun diisytiharkan muflis berikutan kegagalan membayar hutang kad kredit.

“Mereka ini akan mula berkeluarga, membeli rumah, kereta dan menghantar anak-anak ke sekolah.

“Sehubungan itu, orang ramai perlu hidup mengikut kemampuan mereka sendiri, Tidak dinafikan kos hidup sememangnya tinggi tetapi kos gaya hidup mereka juga merupakan suatu yang mereka perlu kaji balik,” katanya.

Sementara itu Muhammad berkata, beliau turut bimbang dengan situasi harga rumah mampu milik yang membebankan terutamanya bagi kategori golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (gaji dalam lingkungan RM3,855 dan ke bawah).

“Jika gaji anda sebanyak RM3,000, anda hanya mampu membeli rumah yang mungkin berharga sekitar RM180,000, tetapi di mana anda boleh dapatkan rumah itu?

“Terdapat lebihan penawaran dalam pasaran hartanah bagi kondominium bertingkat tetapi harga tidak mampu milik. Kita perlu membetulkan ini termasuk menerusi mekanisme pasaran,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *