BANDARAYA MELAKA 8 Feb. – Ibu tunggal dipercayai dalang kepada kumpulan pecah tabung masjid di negeri ini dikenali sebagai Geng Siti Jeram, ditahan bersama dua ahli geng itu, selepas hampir empat jam memecah tabung sebuah masjid di daerah Alor Gajah, awal bulan ini.
Wanita berusia 32 tahun itu ditahan bersama anak lelakinya berusia 13 tahun dan seorang lagi remaja berusia 20 tahun di rumah mereka di Kampung Jeram, Masjid Tanah, Alor Gajah.
Ketua Polis negeri Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, ketiga-tiga mereka ditahan di sebuah rumah di Kampung Jeram, Masjid Tanah kira-kira jam 2 pagi pada 2 Februari lalun dalam keadaan lalok.
“Ketiga-tiga ditahan di rumah milik ketua geng terbabit, selepas pihak polis mendapat maklumat daripada ahli jawatankuasa (AJK) Masjid Ar-Rahman, Rantau Panjang, Alor Gajah, mengenai kejadian pecah tabung masjid.
“Tindakan pantas AJK masjid yang segera membuat laporan dan membawa rakaman kamera litar tertutup (CCTV), banyak membantu menyelesaikan kes ini dengan kadar segera,” kata Abdul Jalil, dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Bukit Beruang, di sini, hari ini.
Menurutnya, Geng Siti Jeram memecah tabung masjid terbabit jam 10.20 malam pada 1 Februari lalu, menggunakan modus operandi, ketua geng itu menunggu dalam kereta Perodua Viva sambil anak dan rakan anaknya memecah tabung masjid.
“Dalam tabung masjid itu, hanya ada kira-kira RM30, dan ketiga-tiga mereka mengaku melakukannya.
“Bagaimanapun, kita yakin Geng Siti Jeram ini terbabit dengan beberapa lagi kejadian pecah tabung masjid,” katanya.
Abdul Jalil berkata, siasatan awal mendapati, geng terbabit yang positif dadah jenis Methamphetamine dan melakukan kegiatan itu untuk tujuan membeli bekalan dadah.
Dalam pada itu, Abdul Jalil memberitahu, soal siasat ke atas Geng Siti Jeram itu membawa kepada tangkapan seorang penjenayah lelaki menggunakan nama Abu Hafiz.
“Suspek lelaki berusia 27 tahun itu ditahan di rumahnya pada jam 11 malam pada 3 Februari lalu.
“Suspek ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kejadian pecah tabung lima masjid di sekitar Masjid Tanah.
“Semua empat tangkapan ini dibuat hasil kecekapan AJK masjid dan bantuan rakaman CCTV,” kata Abdul Jalil.
Menurut Abdul Jalil, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengaitkan keempat-empat suspek dengan laporan-laporan kes pecah tabung masjid di negeri ini.
Beliau berkata, keempat-empat suspek direman hingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – SINAR HARIAN
KOMEN