PUTRAJAYA 5 Feb. – Semua pihak perlu menghormati perlambangan haiwan yang digunakan masyarakat Cina sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 16 dan 17 Februari ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha, berkata perkara berkenaan merujuk kepada konsep fiqh ta’ayush (kebersamaan), sekali gus semua pihak perlu sentiasa mengekalkan keharmonian antara kaum.
“Hal ini selaras dengan pendekatan wasatiyyah dalam Islam yang sudah menjadi dasar kerajaan.
“Justeru, semangat kebersamaan dalam perkara ini perlu difahami secara bijaksana dan berhikmah oleh semua pihak. Ia bagi mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Perayaan Tahun Baharu Cina adalah berdasarkan pada perkiraan kalendar lunar dan setiap tahun, masyarakat Cina menggunakan perlambangan haiwan yang berbeza untuk sambutan berkenaan. – BERITA HARIAN
KOMEN