Home » Langit Terbuka » Kopi durian: Kita tanggung kerana kejahilan sendiri – CAP

Kopi durian: Kita tanggung kerana kejahilan sendiri – CAP

Baru-baru ini terdapat beberapa kejadian mangsa diserang gejala seperti sawan selepas meminum minuman kopi pracampuran. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 5 Feb. – Hanya kerana sifat ‘tidak peduli’, pengguna sering terperangkap dan menjadi mangsa kepada produk yang berbahaya.

Menurut Pegawai Penyelidik dari Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Ganesan Sivalingam rata-rata pengguna di Malaysia terlalu yakin apa sahaja produk yang sudah berada di pasaran telah dijamin selamat.

“Sebagai pengguna kita terpaksa tanggung kerana kejahilan kita sendiri.

“Ramai pengguna tidak ambil tahu tentang bahan yang digunakan dalam produk makanan atau minuman yang dibeli.

“Malangnya ada beberapa bahan yang digunakan dalam produk yang dipasarkan amat membahayakan kesihatan kita,” katanya kepada Astro AWANI.

Baru-baru ini terdapat beberapa kejadian mangsa diserang gejala seperti sawan selepas meminum minuman kopi pracampuran.

Ganesan menegaskan pihak Kementerian Kesihatan perlu memainkan peranan mereka untuk memantau dan menyebarkan maklumat kepada pengguna.

“Penguatkuasaan perlu dilaksanakan serta-merta. Apa sahaja produk yang berada di pasaran perlu dapat kelulusan dari pihak kementerian.

“Jika mana-mana premis didapati menjual kopi yang tidak diluluskan, tindakan perlu diambil.

“Ini dapat mengelakkan syarikat lain untuk menjual atau menghasilkan kopi yang membahayakan ini,” katanya.

Menurutnya lagi, pada 2008, CAP pernah memaklumkan kepada kementerian kesihatan tentang penemuan bahan ‘Sildenafil’ dalam beberapa produk kopi campuran segera yang berada di pasaran.

“Kami telah menemui bahan ‘sildenafil’ yang telah ditambah dalam beberapa produk kopi campuran yang berada di pasaran.

“Bahan ini adalah sejenis dadah yang boleh mengakibatkan degupan jantung yang tidak teratur, kehilangan pendengaran atau penglihatan.

“Kami sudah memaklumkan kepada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di bawah Kementerian Kesihatan dan mereka telah memberi respon mengatakan mereka akan melihat perkara ini,” katanya.

Namun, menurut Ganesan sehingga hari ini produk kopi campuran segera yang memiliki bahan ‘sildenafil’ ini dilihat masih berada di pasaran. ASTRO AWANI

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *