Home » Langit Terbuka » Mihas 2018 platform terbaik industri halal

Mihas 2018 platform terbaik industri halal

Seramai 26,000 orang dijangka mengunjungi Mihas pada tahun ini dengan lebih 1,000 ruang pameran. Foto : https://mihas.com.my

 

PAMERAN Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2018 yang akan diadakan selama lima hari mulai 4 April ini, menjadi platform terbaik dan terbesar bagi syarikat peneraju industri halal memperkenalkan produk mereka di peringkat antarabangsa.

Pengarah Bahagian Perkhidmatan Promosi, Makanan, Biotek dan Perdagangan Halal Matrade, Mohd Aminuddin Sham Tajudin berkata, ekspo perdagangan halal terbesar dunia itu diadakan buat julung kalinya di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec).

Katanya, pameran itu disertai pelbagai syarikat antaranya dari negara-negara Asean, Turki, Afrika Selatan, Palestin, Iran, Emiriah Arab Bersatu, China, Jepun, Taiwan dan Korea Selatan.

Jelasnya, industri halal semakin berkembang maju dan pertumbuhannya dirangsang oleh permintaan tinggi daripada penduduk Islam dan bukan Islam di seluruh dunia.

“Kami menyasarkan peningkatan jumlah pengunjung sebanyak 10 hingga 15 peratus iaitu 26,000 orang akan mengunjungi Mihas pada tahun ini dengan lebih 1,000 ruang pameran,” katanya.

Aminuddin berkata, pemilihan lokasi baharu itu mampu menarik lebih ramai pempamer untuk mengetengahkan produk mereka pada pameran tersebut.

Beliau berkata, Mihas 2018 juga menampilkan beberapa sektor baharu yang dijangka memberi kepuasan kepada pengunjung untuk mengetahui dengan lebih jelas mengenai sektor produk halal.

“Antara sektor baru itu adalah perkhidmatan kewangan dan takaful, logistik halal, perdagangan digital dan pelancongan,” katanya.

Sementara itu, katanya Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) menjanjikan kualiti pembeli asing yang lebih baik dalam membantu syarikat tempatan memelopori pasaran global.

“Pembeli berkualiti premium dari seluruh dunia akan mengambil bahagian dalam pertemuan perniagaan dengan pengeksport Malaysia untuk mengetahui mengenai produk dan perkhidmatan halal yang dapat dipasarkan ke luar negara,” katanya. – SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *