Home » Langit Terbuka » Keputusan Mahkamah Persekutuan tak selaras semangat Rukun Negara

Keputusan Mahkamah Persekutuan tak selaras semangat Rukun Negara

Hassan Basri Muhammad

KUALA LUMPUR 30 Jan.  – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengingatkan kepada pihak tertentu, sebarang kehendak dan penafsiran perlembagaan sewajarnya berpaksikan serta membawa semangat Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 11 Perlembagaan Malaysia.

Naib Presidennya, Hassan Basri Muhammad berkata, pertubuhan Melayu itu juga memandang berat keputusan Mahkamah Persekutuan semalam, yang dilihat ‘janggal’,  tanpa menjadikan kes R.Subasini lwn T. Saravanan 2007 sebagai rujukan, walaupun memahami keputusan mahkamah tidak terikat dengan kes terdahulu.

“Pada asasnya kita menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak guru Tadika, M Indira Gandhi hampir 10 tahhun lalu kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

“Tetapi mahkamah hanya bersandarkan penafsiran aqal pada perkataan majmuk ‘parents’ (ibu bapa), sedangkan kesepakatan ulama empat mazhab Ahli Sunah Wal Jamaah jelas memutakmadkan agama anak bawah umur adalah di bawah dan dinasabkan kepada bapanya,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang memutuskan sebulat suara selepas membenarkan rayuan akhir dibuat Indira berhubung kesahihan penukaran agama tiga anaknya, Tevin Darsiny, 21; Karan Dinish, 20; dan Prasana Diksa, 9, kepada Islam.

Menerusi 99 mukasurat penghakiman yang dibacakan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali, mahkamah memutuskan persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah perlu untuk penukaran agama anak sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf.

Menurut Hassan Basri, Perkasa tidak terkecuali menzahirkan kebimbangan berikutan keputusan itu kerana ia semestinya akan melebar dan menyerapkan fahaman liberalisme.

Katanya, ia juga mesti menjadi rujukan serius pada kes yang sama pada masa akan datang.

“Ini tidak mustahil boleh membawa kepada masalah jenayah sampingan seperti sentimen provokasi agama, penculikan, melarikan anak dan seumpamanya.

“Tambahan pula Perkasa sudah melihat bibit awal provokasi atas sentimen agama apabila Ahli Parlimen Ipoh Barat, M.Kulasagaran yang juga peguam kepada Indira terus memperlekeh Parlimen dan Kabinet,” katanya.

Justeru, Perkasa mencadangkan hakim atau majistret yang kebanyakannya tidak mendalami ilmu agama Islam perlu ditaklimat dan difahami terlebih dahulu oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim).

Kata beliau, pertubuhan itu juga menyokong cadangan Presiden Persatuan Peguam Muslim supaya kerajaan negeri segera meminda Undang-Undang Tubuh Negeri untuk menyamatarafkan Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil selaras dengan Islam agama Persekutuan.

“Pada masa sama, kita juga mendesak kerajaan segera membentang dan meluluskan Rang Undang-Undang 355 (RUU355) bagi mengangkat martabat Mahkamah Syariah,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *