SHAH ALAM 27 Jan. – Pengasas dan pengerusi Amanah Al-Wariseen dan Darul Jailani International, Al-Sheikh Afeefuddin Al-Jailani menyeru agar umat yang mencintai Rasulullah SAW, untuk tekadkan iltizam mengatasi kekeliruan masa kini yang dipermainkan oleh pihak yang ingin melihat perpecahan di kalangan umat Islam di dunia sekarang.
Beliau berkata, selain itu terdapat ancaman dari para alim ulama dan ilmuwan yang membawa fahaman dan ajaran yang mengelirukan dan menyesatkan.
Menurutnya, banyak tragedi dan episod pahit lagi mengejutkan berlaku atas nama Islam telah menimbulkan pelbagai isu semasa yang dikenali sebagai islamophobia.
“Keadaan berkenaan telah memberi tanggapan negatif terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.
“Kesan daripada ini,menjadikan umat Islam hidup dan keadaan terancam lagi bimbang dengan polisi-polisi radikal, seperti menghalang orang Islam masuk ke negara mereka, menghapus pemakaian hijab, pembakaran kitab suci Al-Quran, pemusnahan masjid, penganiayaan umat minoriti Islam dan penghinaan terhadap baginda Rasulullah SAW yang menjadi tular,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Terulung Maulidul Rasul ke-15 dan Haul Al-Sheikh Abdul Qadir al-Jalani di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Program berkenaan adalah anjuran bersama YADIM dengan pelbagai pihak lain.
Namun sebagai umat Nabi Muhammad SAW, beliau berkata, semua umat Islam perlu terus mempamerkan akhlak Rasulullah yang secara langsung dapat menyangkal tanggapan negatif kesucian agama Islam.
“Walaupun baginda Rasulullah SAW telah lama wafat, namun cinta kepadanya tetap kukuh dan menjadi pedoman setiap umat Islam untuk memartabatkan kesucian agama Islam.
“Sebagai pewaris baginda Rasulullah SAW, Sultanul Awlya Al Sheikh Abdul Qader Al Jailani RA, mengajar umat islam untuk mengamati jejak dan akhlak Rasulullah SAW,’’ katanya.
Beliau berkata, seluruh umat Islam sebagai pewaris seterusnya mesti cekal dan tabah menyebarkan pesanan-pesanan baginda, sahabat dan pengikut-pengikut baginda, yang dapat menyatupadukan hati orang Islam dan mengatasi kekeliruan dan keresahan yang timbul masa kini.
Beliau berkata, sempena sambutan kali yang ke-15, semua pihak perlu bersyukur dengan keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati, melalui bimbingan barisan pemimpin dan prinsip-prinsip yang berlandaskan perpaduan dan kehidupan yang harmoni.
“Pemimpin dan rakyat bekerjasama memelihara kesucian nikmat ini.
“Demikianlah juga perjuangan dan pesanan baginda Rasulullah SAW semasa zaman baginda yang menyeru kearah perpaduan dan kebenaran,’’ katanya.
Majlis sambutan kali ini telah berjaya membawa pengunjung dari seluruh dunia melalui kehadiran mereka di Malaysia dan juga melalui saluran media secara “livestreaming” di negara masing-masing. Tetamu-tetamu yang hadir datangnya dari dalam dan luar negara seperti Singapura, Indonesia, Pakistan, India, Bangladesh, Sri Lanka, Mesir, Jordan, Yemen, Arab Saudi, Sudan, Turki, Afrika Selatan, Morocco, Nigeria, Iraq, Kenya, Jerman,Canada, Australia, New Zealand, China dan Amerika Syarikat.
Menariknya pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW kali ini, buat julung-julung kalinya diadakan di luar Wilayah Persekutuan, iaitu di Masjid Negeri Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Sebelum ini program seumpama ini telah diadakan jayanya di Pusat Islam Kuala Lumpur, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.
KOMEN