BARU-BARU ini kita digemparkan dengan tangkapan ke atas dua individu oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan skim pelaburan kucing melibatkan kerugian berjumlah RM1.56 juta.
Kedua-dua suspek masing-masing berusia 34 dan 55 tahun yang merupakan pemilik dan pengurus syarikat pelaburan tersebut ditahan dalam serbuan di sebuah kedai haiwan yang terletak di Seksyen 14, Shah Alam, Selangor pada Jumaat lalu.
Selain premis di Shah Alam, pihak polis turut menyerbu dua lagi premis syarikat tersebut di Melati Utama, Setapak, Kuala Lumpur dan Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Johor.
Dalam serbuan itu, pelbagai dokumen berkaitan termasuk sijil baka kucing telah dirampas.
Sebenarnya, sebelum serbuan dilakukan oleh pihak berkuasa, isu berkaitan penipuan skim pelaburan kucing berkenaan terlebih dulu telah tular di media sosial sejak beberapa minggu lalu.
Beberapa keping gambar mengenai keadaan kucing yang dikurung di dalam sangkar juga turut disiarkan yang menunjukkan haiwan berkenaan berada dalam keadaan tidak terurus termasuk ada yang kelihatan sakit sehingga mengundang kemarahan netizen.
Mengulas mengenai isu berkenaan, Pengerusi Biro Undang-Undang, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan meja bulat antara pelabur dan pemilik syarikat berkenaan bagi menyelesaikan perkara itu sebelum ini.
Pada pertemuan yang berlangsung pada 16 Disember lalu, pihak syarikat berkenaan telah bersetuju untuk membayar ganti rugi kepada pelabur yang terlibat.
Namun selepas tarikh berkenaan, pihak syarikat berkenaan gagal dihubungi. Mereka seolah-olah tidak lagi berminat untuk menyelesaikan masalah tersebut.
“Mungkin disebabkan itu, ada pelabur yang mengambil keputusan untuk membuat laporan polis selepas berasa tertipu dengan skim yang ditawarkan oleh syarikat tersebut,” katanya ketika dihubungi.
PPIM menerima lebih daripada 80 aduan berkaitan penipuan skim pelaburan tersebut dengan nilai kerugian kasar dianggarkan mencecah hampir RM2 juta.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Pengurusan Sumber Dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri ketika dihubungi berkata, skim pelaburan kucing tersebut menyamai skim pelaburan cepat kaya yang telah banyak dibongkar oleh pihak berkuasa.
“Sama ada skim itu menggunakan kucing, cacing, emas dan sebagainya, ia merupakan skim cepat kaya yang sebenarnya hanya indah khabar daripada rupa.
“Mereka hanya mengubah bentuk pelaburan itu, sedangkan modus operandi tetap sama iaitu menjadikan individu yang ingin kaya dengan cepat sebagai mangsa.
“Saya hairan mengapa masih ramai anggota masyarakat yang terpedaya untuk melabur dalam skim pelaburan seperti itu sedangkan telah banyak laporan di media mendedahkan kegiatan tersebut,” katanya.
Menurut Mohamad Fazli lagi, antara punca masih ada individu yang terpedaya dengan skim pelaburan seperti itu disebabkan kurang kesedaran terhadap penipuan melibatkan pelaburan selain tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.
Seseorang individu itu biasanya akan tertarik dengan pelan perniagaan yang dibentangkan oleh wakil syarikat pelaburan sehingga menyebabkan mereka sanggup mengeluarkan wang untuk melabur.
“Di atas kertas, memang pelan perniagaan tersebut nampak cantik dan menjanjikan pulangan yang berganda dalam tempoh masa tertentu.
“Jika lihat kepada keuntungan yang bakal diperoleh, siapa yang tidak mahu melabur.
“Hakikatnya, skim pelaburan seperti itu memang akan merugikan kerana ia bukanlah skim pelaburan yang sebenar,” katanya.
Menurut Mohamad Fazli, individu yang ingin terlibat dalam mana-mana skim pelaburan seharusnya mengambil pendekatan lebih berhati-hati dengan melakukan penyelidikan terlebih dulu terhadap skim yang ditawarkan.
Mereka juga perlu mempunyai ilmu asas berkaitan pelaburan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
“Itulah kelemahan kita iaitu tidak mahu melakukan semakan dan penyelidikan terlebih dahulu berhubung skim pelaburan yang ditawarkan.
“Nak melabur itu tidak salah tetapi sepatutnya ambil sedikit masa dan selidiklah terlebih dahulu latar belakang syarikat serta prestasi semasa pelaburan.
“Pastikan juga kita mempunyai pengetahuan asas mengenai aktiviti pelaburan sebelum melabur. Jangan hanya kerana ingin cepat kaya, harta yang ada digadai semuanya sehingga akhirnya bak kata pepatah, yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran’,” katanya. –KOSMO
KOMEN