TANGKAK 24 Jan. – Kenyataan beberapa pihak kononnya Islam tidak membantu kemajuan ekonomi atau membantutkan usaha ke arah itu disangkal Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, Johor misalnya sebagai sebuah negeri yang maju tetap Islamik dan menggunakan pendekatan yang merujuk kepada pelaksanaan prinsip atau ajaran agama Islam yang boleh diterapkan dalam pembangunan dan kemajuan.
“Islamik di Johor bukan bermaksud kita menekankan kepada peraturan tertentu dan undang-undang, itu salah.
“Tetapi, ia lebih kepada nilai dan pendekatan yang boleh digunakan untuk membawa kemajuan pembangunan dan membantu menyelesaikan masalah masyarakat,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) di Sagil, dekat sini kelmarin.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang juga Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri; Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim dan Ketua Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), Abd. Razak Mohd. Yusoof.
Mohamed Khaled merujuk kepada kenyataan Datin Paduka Marina Tun Dr. Mahathir baru-baru ini yang mendakwa kononnya Malaysia akan jauh ketinggalan sekiranya masih berteraskan Islam yang kuat.
“Jadi saya sangkal apa yang sesetengah pihak liberal katakan bahawa Islam tidak bantu membawa kemajuan atau Islam membantut kemajuan dan sebagainya seperti yang disebut Marina.
“Malah, amat malang juga kita mendengar kenyataan individu seperti Hishamuddin Rais yang dakwanya dia dilahirkan Islam tetapi masih belum memeluk Islam,” katanya.
Justeru itu, tegas Mohamed Khaled, pihaknya akan komited memelihara syiar Islam supaya tidak berlaku perkara tidak diingini dan pada masa sama terus menghormati hak kebebasan kaum lain dan menerima mereka sebagai bangsa Johor. – UTUSAN ONLINE
KOMEN