Home » Langit Terbuka » Google buang aplikasi iklan lucah

Google buang aplikasi iklan lucah

GOOGLE bertindak membuang sejumlah aplikasi permainan yang disertakan dengan iklan lucah. - Gambar hiasan

CALIFORNIA 14 Jan. – Syarikat Alphabet Inc’s Google berkata, pihaknya telah membuang 60 aplikasi permainan yang didakwa mengandungi iklan lucah di Play Store.

Tindakan itu dilakukan selepas sebuah firma keselamatan, Check Point berkata, beberapa aplikasi permainan yang dimuat turun mengandungi cecacing yang akan mengeluarkan iklan lucah, selain menawarkan pembelian premium.

“Kita telah mengeluarkan aplikasi itu daripada Play Store, menyekat akaun pemajunya dan akan terus memberi amaran kepada sesiapa yang memuat turun aplikasi tersebut,” kata seorang jurucakap Google.

Perisian yang disertakan dengan cecacing yang digelar sebagai AdultSwine itu disembunyikan dalam aplikasi permainan.

Data Google Play menunjukkan, aplikasi berkenaan telah dimuat turun antara tiga hingga tujuh juta kali, kata Check Point dalam entri blog kelmarin.

Aplikasi itu bukan sebahagian daripada koleksi keluarga bagi membantu ibu bapa mencari kandungan sesuai dengan usia di Play Store.

Syarikat itu menjelaskan bahawa iklan yang tidak sesuai dalam aplikasi tersebut bukan iklan Google.

Perisian cecacing itu juga me­nipu pengguna supaya memuat turun aplikasi keselamatan palsu sekali gus boleh membuka ruang kepada serangan lain seperti kecurian maklumat pengguna, kata Check Point.

Tambahnya, permainan dan aplikasi untuk kanak-kanak menjadi sasaran baharu kepada jenayah siber yang menyasarkan hospital, perniagaan dan kerajaan pada masa lalu.

“Unsur paling mengejutkan perisian ini adalah keupayaan untuk menghasilkan iklan lucah yang muncul tanpa memberi amaran pada skrin aplikasi sah untuk dipaparkan,” katanya.

Permainan itu termasuk Paw Puppy Run Subway Surf, Shin Hero Boy Adventure Game, Drawing Lessons Lego Ninjago dan Addon Sponge Bob for MCPE.

Check Point berkata, pihaknya menjangkakan AdultSwine dan perisian cecacing serupa akan diulang dan ditiru oleh penggodam.

Berikutan itu, pihaknya memberi amaran kepada pengguna supaya lebih berhati-hati ketika memuat turun aplikasi terutama melibatkan permainan kanak-kanak. – Reuters

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *