KUALA LUMPUR 13 Jan. – Usaha dakwah di Malaysia tidak cukup bagi menarik masyarakat bukan muslim untuk memeluk agama Islam.
Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, apa yang berlaku hari ini, sesetengah individu ada terlalu sibuk melihat ‘habuk berbanding kerikil batu’ di hadapan.
“Apabila orang bukan Islam bangkit sebelum kita, mempersoal kita, hak agama dan martabat, saya fikir kita kena lihat adakah usaha dakwah kita mencukupi?
“Mengikut statistik sehingga tahun lalu, dianggarkan India muslim di dalam negara seramai 78,000 orang, Cina muslim 42,000 orang dan Orang Asli muslim 42,000 orang,” katanya dalam Konvensyen Kebangkitan Ummah, di Pusat Islam, di sini, hari ini.
Beliau berkata, dengan jumlah penduduk yang ada di negara, jumlah itu sepatutnya lebih baik.
Katanya, usaha yang boleh diambil adalah pengajaran, usaha dan inisiatif dakwah harus diteruskan.
“Kadang-kala kita leka..apa yang dibimbangi adalah kita cemerlang dalam proses menguatkan iman orang yang sudah baik imannya, tapi bukan dakwah kepada mereka yang belum beriman (bukan Islam). Kita kena kembali bahawa tugas dakwah bukan sahaja tugas kita, tapi tanggungjawab semua.
“Kita harus berpegang kepada teras dakwah agar kerja-kerja kita diredhai ALLAH,” katanya.
Tambahnya, dalam menyebarkan dakwah, berilah didikan dan usahlah mengaibkan.
“Usah pecah rahsia silam orang yang hendak masuk ke dalam medan dakwah,” katanya. ā SINAR HARIAN
KOMEN