PETALING JAYA 12 Jan. – Nak denda salah, tak denda pun serba salah. Itulah dilema yang dihadapi para guru ketika berdepan dengan pelajar yang mempunyai masalah disiplin.
Selepas seorang demi seorang guru tular gara-gara tindakan disiplin yang diambil ke atas pelajar bermasalah, kini sebuah sekolah di Shah Alam pula tular kerana mengenakan denda yang unik kepada para pelajarnya.
Rata-rata netizen bersetuju dengan tindakan pihak Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7, Shah Alam yang mendenda pelajar lewat dengan menyuruh mereka menunaikan solat Dhuha di dataran perhimpunan.
Pengetuanya, Siti Salmiah Yaakob berkata, idea untuk mengenakan denda tersebut sebenarnya sudah lama diamalkan oleh pihak sekolah dan beliau tidak menyangka ia akan tular baru-baru ini.
Antara pujian yang ditinggalkan netizen terhadap tindakan tersebut.
“Sebelum ini, mereka yang lewat ke sekolah akan diminta menunaikan solat Dhuha di surau.
“Cuma, baru-baru ini denda itu dilakukan di dataran perhimpunan pada hari kedua sekolah dibuka. Sepatutnya, pelajar teruja nak ke sekolah masa awal-awal tahun, tapi mereka datang lambat pula,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.
Kata Siti Salmiah, sekolah tersebut mempunyai seramai 2,000 pelajar yang terdiri daripada Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.
Jelasnya, seramai hampir 50 pelajar dari jumlah itu yang didenda pada hari tersebut dan kebanyakan mereka memberikan alasan bangun lambat serta singgah menikmati sarapan pagi di kedai berhampiran kawasan sekolah berkenaan.
“Bila mereka bagi alasan bangun lambat, jadi kita anggap mungkin mereka tidak solat Subuh.
“Pihak sekolah denda tunaikan solat Dhuha dengan harapan solat-solat sunat ini dapat ‘top-up’ mana-mana amalan yang kurang,” ujarnya yang menjadi pengetua di sekolah tersebut sejak 2016.
Posting mengenai denda tersebut tular selepas ia dimuat naik oleh seorang ibu, Eizan Ariffin di laman Facebook miliknya dan turut meluahkan rasa tersentuh selepas melihat gambar-gambar itu.
Posting tersebut telah dikongsikan sebanyak 2,252 kali dan menerima lebih 6,000 tanda suka sejak ia dimuat naik pada 3 Januari lalu. – www.mstar.com.my
KOMEN