Home » Analitis » Liberalisme: Suatu fenomena global

Liberalisme: Suatu fenomena global

Oleh SIDEK BABA

Prof. Dato’ Dr. Sidek Baba adalah Profesor Pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Fenomena liberalisme bermula di Barat dan menjadi fenomena dunia. Asas penolakan Islam di Barat yang dipacu oleh pendekatan Reformasi, Renaissance dan Revolusi Industri meletakkan faham sekular menjadi dominan. Sekularisme yang berkembang menjadikan agama tersisih. Rasionaliti membudaya, sains dan teknologi dijadikan fokus untuk mencari kebenaran.

Lebih 700 tahun, Barat melakukan hegemoni secara formal (penjajahan), dan tidak formal (al ghazwul fikir – penjajahan pemikiran) dunia Islam berada dalam pergantungan dengan Barat. Umat Islam menjadi umat pengguna kepada kekuatan mereka dan timbul kecenderungan sesetengah ilmuwan Islam menjadikan metodologi perubahan di Barat sebagai acuan yang dipilih. Berlakulah proses liberalisasi yang menyebabkan penyimpangan isu pokok dalam tradisi Islam sama ada dari sudut akidah, ibadah, tafsir, syariah dan fekah. Ianya memberi kesan kepada tasawur Islami yang terbina sekian lama berasaskan resam Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Dua perkara pokok yang menjadi tunjangan liberalisme di dunia Islam ialah tanggapan mengatakan di bawah lembayung Ahlus Sunnah Wal Jamaah, umat Islam tidak boleh maju di tangan kelompok ortodoks agama yang beku dan jumud.

Lalu, golongan yang menamakan dirinya Progresif Islam memberi makna baharu kepada tafsir al-Quran, fekah baharu dalam ibadah, faktor syariah yang tidak semasa dan melakukan ta’awil mengikut metodologi sendiri konon supaya masyarakat Islam menyesuaikan diri dengan perkembangan zaman.

Kedua, isu hak asasi manusia yang di teropong dari jendela Barat dan bukannya Islam yang menjadi liberalisasi terserlah kerana konsep hak asasi manusia yang difahami oleh Barat tidak terhubung dengan agama dan melihat Islam sebagai penghalang kepada pelaksanaan hak asasi yang sebenar.

Kelompok yang memperjuangkan faham liberal di dunia Islam berpendapat faham sekular, pluralisme agama dan liberalisme adalah jawapan terbaik bagi menentukan hak asasi manusia terpenuh. Lalu membuat kesimpulan bahawa doktrin Islam sudah ketinggalan zaman dan model Barat seharusnya menjadi model terbaik untuk manusia.

Nirwan (2007) dalam mukadimah bukunya menyatakan “Kehadiran gagasan liberalisasi Islam yang kemudian dikenal dengan sebutan “Islam Liberal” dalam dunia pemikiran Islam akhir-akhir ini, khususnya di Indonesia telah menimbulkan kontroversi dan perdebatan panjang. Ini kerana banyaknya idea dan gagasan yang mereka usung sangat bertentangan dengan prinsip-prinsip dasar akidah dan syariat Islam.

Di antara idea yang paling menonjol adalah seperti mempersoalkan kesucian dan keaslian al-Quran, mengkritik kewibawaan Nabi berserta hadis-hadis sahih, mempertikai sahabat-sahabat Baginda dan para ulama. Umumnya, pendukung liberal ini menolak penerapan syariat Islam secara formal oleh negara.

Untuk tujuan itu, mereka mencuba mereka-reka berbagai alasan. Terkadang penolakan tersebut dibuat atas dasar budaya dengan mengatakan bahawa hukum Islam tersebut tidak mencerminkan nilai-nilai dan budaya masyarakat hari ini. Dan kerap kali penolakan tersebut dibuat atas anggapan bahawa syariat Islam bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia (HAM).

Hukum Islam berkaitan dengan non-Muslim, misalnya dikatakan sangat diskriminatif terhadap kelompok ini kerana menempatkan agama lain lebih rendah dari penganut Islam. Hukum murtad pula dianggap bertentangan dengan prinsip kebebasan agama. Belum lagi hukum Islam berkenaan dengan wanita. Mereka selalu menuduhnya tidak ramah dan cenderung melecehkan. Dan atas dasar ini semua mereka lantas menyarankan agar dilakukan penafsiran semula atas hukum-hukum tersebut dan kalau perlu disusun semula.

Bila diteliti dengan cermat, hampir seluruh gerakan liberal di dunia Islam lahir sebagai respons ideologis terhadap berbagai persoalan sosial, politik dan ekonomi yang sedang melanda masyarakatnya. Kelompok ini berusaha membuat kemasukan baru untuk membangkit kembali masyarakat mereka yang jauh ketinggalan bila dibandingkan dengan Barat. Dan kemasukan itu, kata mereka hendaklah dimulakan dengan agama kerana agamalah selama ini menjadi penghalang kemajuan dan pembangunan.

Di dunia pemikiran Arab moden dan kontemporari istilah liberal atau liberalisme memang sudah tidak asing. Para penulis dan intelektual Arab biasanya menggunakan istilah tersebut merujuk kepada sekelompok intelektual Arab yang menyanjungi tinggi peradaban Barat dan berusaha untuk mengikutinya.

Kelompok ini melihat Barat adalah model peradaban yang patut dicontohi. Untuk maju pendukung idea ini harus dengan mengikuti Barat. Tidak ada jalan lain kecuali mencontohi Barat.

 

Ali Engineer
Aminah Wadud
Hasan Hanafi
Muhammad Arkoun

Justeru, terdapat ramai pemikir-pemikir Arab menganut pendekatan ini. Orang seperti Muhammad Arkoun yang menetap di Perancis, Hassan Hanafi dari Mesir, Muhammad Nuwayhi, Adonis budayawan Lebanon, Radwan al Sayyid, Nasr  Hamid Abu Zayd, Muhammad Shahrun, Abdullah Ahmad an Naim, Muhammad Said Ashmani, M.Abidal Jabiri, Fatima Mernisi, Rifat Hasan dan ramai lagi.

Di negara lain terdapat orang seperti  Rashad Khalifa yang anti-hadis dan memperkenalkan Kod 19 mengenai al-Quran, Aminah Wadud di Amerika Syarikat yang mengimami solat Jumaat, Fazlur Rahman di Chicago dan Ali Engineer di India yang pemikirannya selari dengan aliran liberalisme yang sedang terjadi di kalangan umat Islam.- MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *