Home » Wacana » Di antara muflis dunia dan akhirat

Di antara muflis dunia dan akhirat

foto : https://iluvislam.my

Oleh ABDUL HAYEI ABDUL SUKOR

Dr Abdul Hayei Abdul Sukor ialah Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2011 dan bekas Dekan dan Pensyarah di Fakulti Usuluddin, Akademi Pengajian Islam,Universiti Malaya (UM)

Sabda Nabi SAW:

أَتَدْرُونَ مَا الْمُفْلِسُ ؟ قَالُوا : الْمُفْلِسُ فِينَا مَنْ لَا دِرْهَمَ لَهُ وَلَا مَتَاعَ ، فَقَالَ : إِنَّ الْمُفْلِسَ مِنْ أُمَّتِي يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِصَلَاةٍ ، وَصِيَامٍ ، وَزَكَاةٍ ، وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ هَذَا ، وَقَذَفَ هَذَا ، وَأَكَلَ مَالَ هَذَا ، وَسَفَكَ دَمَ هَذَا ، وَضَرَبَ هَذَا ، فَيُعْطَى هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ ، وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ ، فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَتْ عَلَيْهِ ، ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ  

(HR Muslim no. (2581) daripada Abu Hurairah RA)

Terjemahan

“Tahukah anda siapa sebenarnya muflis? Sahabat sahabat menjawab: ‘Muflis sepanjang pengetahuan kami ialah orang yang tidak mempunyai wang dan harta. (Nabi SAW bersabda: ‘Bukan muflis harta aku maksudkan) tetapi muflis pahala pada hari Kiamat. Sebahagian umatku pada hari itu datang membawa amalan-amalan solat, puasa dan zakat. Pada masa sama juga dia membawa dosa-dosa mengutuk orang, memfitnah orang, mengambil harta orang, membunuh orang dan memukul orang. Penyelesaian pada hari itu adalah dengan mengambil amal kebajikannya lalu diberi kepada orang yang dizaliminya. Andainya amal kebajikan yang dibawanya belum cukup, akan diambil dosa-dosa mangsa yang dizaliminya, lalu dibebankan di atas kepalanya, kemudian dicampaknya ke dalam neraka.”

 

*****

Bagi mencapai sebuah masyarakat yang aman dan makmur, semua agama langit sepakat menyatakan lima prinsip perlu ditegakkan dalam sesebuah masyarakat dan negara iaitu memelihara agama, nasab, akal, nyawa dan harta. Lima prinsip ini disebut maqasid syariah (objektif syariah).

Islam mewajibkan umatnya memelihara prinsip-prinsip ini bagi mencapai sebuah masyarakat yang maju. Umatnya bersatu bagaikan sebuah bangunan yang batu-batanya terikat rapi atau bagaikan satu jasad, apabila mana-mana anggotanya mengadu sakit, seluruh jasadnya turut terganggu.

 

Bicara  Hadis

Bicara 1: Nabi SAW memulakan bicaranya dengan soalan mudah dijawab dan segera memasuki tajuk bicara iaitu: “Tahukah anda siapa sebenarnya muflis?”. Rasulullah SAW mendapat maklum balas yang sangat positif kerana membantu para sahabat untuk memahami permasalahan yang bakal disampaikan Baginda. Maklum balas yang diterima Baginda ialah – muflis itu ialah orang yang tidak mempunyai wang dan harta untuk melangsaikan hutang. Daripada maklum balas ini, Rasulullah SAW dapat mengenal pasti dua perkara yang masih kabur dan belum difahami dengan sebaik-baiknya menurut  tasawwur syariah Islam.

  1. Konsep muflis sebenarnya dalam tasawwur Islam terbahagi kepada dua bahagian iaitu muflis harta di dunia dan muflis pahala di Akhirat atau dengan kata lain, muflis di dunia dan muflis di Akhirat.
  2. Kefahaman tentang keseimbangan di antara dunia dan Akhirat perlu diperkemaskan; jika muflis membawa erti kerugian harta benda di dunia, maka di Akhirat juga tidak seharusnya berlaku muflis yang membawa erti kerugian pada pahala bagi amal kebajikan.

Bicara 2: Bicara kedua menyentuh golongan yang disifatkan sebagai muflis Akhirat. Mereka ialah segolongan manusia yang tidak berakhlak terhadap orang lain, lebih suka menjaga tepi kain orang seperti mengumpat, mengeji, memfitnah dan memburuk-burukan orang lain. Anehnya, di samping akhlaknya yang buruk itu, mereka dilihat pada zahirnya mempunyai komitmen yang tinggi terhadap kewajipannya sebagai Muslim. Mereka menunaikan solat, puasa dan menunaikan ibadat haji secara konsisten, mungkin juga antara mereka adalah ahli agama yang dihormati masyarakat, tetapi memiliki sikap yang tidak jelas atau masih kabur.

Bicara 3: Nabi SAW mengkategorikan orang ini sebagai muflis Akhirat atau muflis amal kebajikan kerana amal kebajikannya ternyata sia-sia dan tidak mendatangkan apa-apa faedah yang boleh dinikmatinya. Rasulullah SAW menyatakan, orang ini akan datang pada hari Kiamat membawa amal-amal kebajikan tetapi ditolak oleh Allah SWT disebabkan terpaksa membayar ganti rugi terhadap mangsa-mangsa kezalimannya semasa di dunia dahulu.

Bicara 4: Dalam perjalanan ke Akhirat, sama ada ke syurga atau neraka, setiap orang dikehendaki menyelesaikan terlebih dahulu hak-hak kemanusiaan atau dosa-dosa yang berkaitan hak-hak manusia seperti hutang yang belum dibayar, mengumpat, mengeji, memfitnah dan menzalimi manusia dan belum mendapat kemaafan dari pihak yang dizalimi. Kesalahan-kesalahan ini akan dituntut dengan membayar ganti rugi kepada pihak yang dizalimi sebelum kedua-dua pihak bergerak merentasi sirat (titian) yang sangat mencabar.

Bayaran ganti rugi atau pampasan di sana bukan lagi dengan harta kekayaan dan pangkat kerana semuanya tidak mempunyai nilai di sisi Allah, tetapi akan dibayar dengan amal ibadat yang dinilai mengikut neraca Allah yang Maha Adil terhadap hamba-Nya. Jika pahala amal ibadatnya mencukupi bagi menyelesaikan segala kezalimannya, dia akan dibiar untuk merentas titian sirat dan jika diizin Allah, dia akan dapat merentas titian dengan selamatnya dan akan dimasukkan ke syurga. Namun, jika pampasannya gagal dibayar sama ada dosa kezalimannya terlalu tinggi atau tiada amalan untuk diselesaikan, maka dosa-dosa orang yang dizaliminya akan dipindahkan kepadanya lalu dibawa ke neraka.

Bicara 5: Beberapa kemusykilan ditimbulkan sekitar persoalan ganti rugi dengan amal kebajikan. Bagaimana ganti rugi dibayar dengan amalan khusus, sebagai contoh,  pahalanya diperolehi hasil daripada ibadat yang berganda-ganda pahalanya, sedangkan bayaran ganti rugi hanya secukup kerugian yang ditanggung pihak yang terlibat dalam kerugian?

Sebenarnya, bayaran ganti rugi hanya setakat kerugian yang ditanggung sahaja, manakala selebihnya kekal dalam akaun asal pemilik amal kebajikan itu. Itu pun jika pahala dari amal kebajikan masih berbaki selepas dibayar ganti rugi kepada pihak-pihak yang membuat tuntutan.

 

Penutup Bicara

Hadis ini membawa beberapa pengajaran dan saranan seperti berikut:

  1. Pembayaran ganti rugi pada hari Kiamat disempurnakan mengikut logik akal yang biasa dipakai di dunia seperti tuntutan insuran hayat, insuran kereta, insuran kebakaran dan sebagainya. Nilainya atas kerugian yang ditanggung pencarum. Syariat Islam mempunyai ukuran yang lebih adil apabila pembayaran disempurnakan di hadapan Allah.
  2. Maksud muflis yang sebenarnya pada hari Kiamat ialah kerugian yang tidak dapat dicari ganti, iaitu kerugian iman dan keluarga.
  3. Hadis membuat saranan yang sangat kuat supaya menjauhi sebarang kesalahan di dunia sehingga menyebabkan terpaksa dibayar ganti rugi dengan amalan yang di bawa sebagai bekalan ke syurga.
  4. Pengajaran yang berkesan adalah dengan menggunakan soal jawab bagi menarik minat pendengar kepada isu-isu yang berkaitan topik. Soalan-soalan yang menggunakan contoh sangat membantu pendengar membuka minda dan kefahaman kepada sudut-sudut yang menjurus kepada matlamat pengajian dengan lebih luas dan terperinci._ MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *