Home » Persuasif » Pelampau agama peruntuh masyarakat

Pelampau agama peruntuh masyarakat

Oleh WARTAWAN DAKWAH

Islam menentang keras terhadap pemikiran yang ekstrem. Sikap melampau dalam agama sebenarnya berpunca daripada kefahaman salah terhadap doktrin Islam dan hukum-hakamnya serta tidak memahami suasana yang menyumbang ke arah pembinaan doktrin serta hukum tersebut.

Kaedah dan cara mereka mentafsirkan nas-nas – sandarannya bergantung kepada pengambilan ayat dan hadis tertentu. Mereka hanya berpegang semata-mata kepada makna zahirnya, tanpa melihat objektif Islam secara umum dari aspek akidah dan syariah. Mereka tidak menekan tentang amanah dan kewajipan agama dalam merealisasikan matlamat individu dan kelompok. Bahkan, tidak melihat kepada sebab ayat diturunkan, mahupun mengenali asas pencarian dalil daripada aspek bahasa dan hukum fiqh, dan juga tanpa membezakan antara prinsip umum dengan konsep pengecualian berdasarkan kepada sebabnya dengan puncanya. Dari segi prinsipnya mereka memiliki kepercayaan serta pegangan atas nama agama yang di luar batasan ajaran agama Islam sebenar.

Tindakan serta praktik amalan-amalan mereka telah terkeluar daripada metodologi salafi dalam memahami agama. Demikian juga dalam amalan apa sekalipun perbuatan golongan ini menggambarkan sikap ekstremis dalam pemahaman terhadap agama. Secara tidak langsung ia menyempitkan konsep samahah dalam Islam serta keagungannya.

Realitinya sepanjang sejarah dan zaman semua agama samawi pernah dan masih bertembung dengan golongan pelampau agama. Sudah menjadi lumrah dan nasib yang tersurat bahawa setiap agama akan bertembung dengan ancaman hawa nafsu yang bergelora serta pemikiran yang menyesatkan.

Agama tidak akan aman sama sekali daripada pelampau dan penindasan segolongan daripada masyarakatnya. Yang anehnya situasi begini kadang-kadang mendorong sesetengah pergerakan Islam hari ini cuba menampilkan keperibadian seorang insan daripada kalangan orang yang warak. Tetapi hakikatnya mereka melampau daripada batas keadilan dan kasih sayang.

Golongan pelampau agama merupakan orang yang melanggar batas kesederhanaan dalam amalan agama sama ada dari sudut pemikiran dan amalan. Ia merupakan satu tindakan yang terkeluar dari jalan yang ditempuh oleh ulama salaf dalam memahami Islam. Biasanya golongan pelampau agama dikaitkan dengan sikap ketaksuban berhubung dengan pandangannya tanpa mengiktiraf pandangan orang lain. Mereka menafikan pandangan orang lain dengan sewenang-wenangnya.

Apa yang menghairankan golongan ini membolehkan dirinya berijtihad dalam masalah yang kompleks dan isu yang kabur, lalu mengeluarkan fatwa mengikut pemikirannya, sama ada bertepatan atau bersalahan dengan agama.

Namun, golongan ini tidak menemui pandangan ulama semasa yang pakar dalam sesuatu bidang, secara individu atau kolektif berijtihad pada pendapat yang bertentangan dengan pendapatnya. Golongan pelampau agama lebih ganas sifatnya dalam pergaulan dan tindakan. Bahkan terlalu radikal dalam menyampaikan seruan dakwah. Walau Allah SWT memerintahkan agar kita menyeru manusia dengan penuh hikmah dan nasihat yang baik bukan dengan kekasaran.

Sudah menjadi tabiat golongan pelampau agama di mana menjadi kebiasaannya bersangka buruk terhadap orang lain serta memandang mereka dengan pandangan negatif. Berburuk sangka dengan menyembunyikan kebaikan orang lain dan pada masa yang sama membesar-besarkan keburukan orang.

Hak sebuah masyarakat dalam menentukan tahap golongan pelampau serta sumber kegiatan mereka adalah tertakluk kepada aktiviti pelampau yang sampai kepada tahap pertembungan dengan pelbagai sistem masyarakat serta undang-undang kecuali sistem yang diikuti dan diterima oleh mereka.

Perlakuan amar makruf dan nahi mungkar contohnya adalah tatacara agama dan tatasusila serta penggeraknya layak dipuji. Tetapi sekiranya dilakukan tanpa batas yang jelas akan mendorong mereka yang melakukan ‘amar makruf’ ini menceroboh hak yang bukan hak mereka serta mengancam keselamatan individu serta kebebasan mereka.

Hadis Ibnu Abbas menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Hendaklah kamu menjauhkan diri daripada bersikap pelampau. Maka sesungguhnya umat sebelum kamu telah dibinasakan kerana bersikap melampau dalam agama. (HR Ahmad, Nasai, Ibn Majah dan Al-Hakim).- MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *