Home » Persuasif » Keberkatan dari sumber halal

Keberkatan dari sumber halal

Oleh  IBANAH SUHROWARDIYAH SM

Sebut saja namanya Pak Rahman. Beliau hanya seorang pesawah yang hanya memiliki sepetak tanah untuk ditanam di Nusa Tenggara Barat Indonesia. Pak Rahman menggantungkan sepenuhnya hasil tanaman itu bagi menyara seluruh anggota keluarganya yang terdiri daripada isteri dan lima anak. Kerana kesederhanaannya, keluarga yang dipimpin terpilih sebagai Keluarga Tauladan Islam (Keluarga Mithali) peringkat kebangsaan mengalahkan peserta keluarga lain yang berjawatan profesor, pensyarah dan pegawai kerajaan.

Salah satu aspek penilaian utama keluarga tauladan ialah sejauhmana peranan ibu bapa dalam membesarkan dan mendidik anak-anak. Pak Rahman berjaya menjadikan kelima-lima anaknya mencapai kejayaan akademik daripada universiti ternama tempatan. Meskipun sebagai petani kecil, beliau mampu membiayai kesemua anaknya dengan peluh keringatnya sendiri, tanpa pinjaman. Ketika pemilihan keluarga mithali ini dianjurkan iaitu pada tahun 2006, dua orang anaknya berjaya membolot gelar sarjana dan tiga yang lainnya bergelar sarjana muda.

Apabila ditanya oleh juri apa rahsia kunci kejayaan itu? Pak Rahman menjawab dengan tegas: “Sepanjang membesarkan dan menjaga anak dengan penuh kasih sayang, saya tidak pernah memberi makan kepada anak-anak saya daripada sumber dan rezeki yang haram walau sebutir beras sekalipun. Saya memastikan bahawa tidak ada satupun wang yang saya biayai yang didapatkan daripada sumber yang tidak halal”.

Itulah resipi rahsia di sebalik kejayaan pendidikan anak-anaknya. Meskipun hanya seorang pesawah yang berpendapatan rendah dan hanya cukup-cukup untuk makan, itu bukan halangan dan kekangan bagi mendidik anak-anaknya ke puncak menara gading. Ternyata, bukan harta yang melimpah, kemudahan first class atau pangkat dan jawatan yang tinggi dalam mencapai satu kejayaan.

Keberkatan Dari Sumber Halal

Di dalam Islam sendiri, perkara mengenai sumber makanan yang halal amat ditekankan dalam menjalankan kehidupan. Ramai dalam kalangan umat Islam yang memandang enteng masalah ini kerana ia dianggap tidak secara langsung memakan makanan yang haram, asalkan yang dimakan tidak haram sesuai dengan zatnya seperti memakan daging khinzir dan minum arak.

Walhal, sama ada secara zahir makanan itu haram atau sumber makanan didapatkan dengan cara tidak halal seperti rasuah, mencuri, menipu, memakan duit riba, menyelewengkan dana kerajaan, atau mark up belanjawan, semuanya dikategorikan sebagai sumber haram yang memberi kesan ke atas pembentukan watak, peribadi dan sikap manusia. Bahkan berimplikasi kepada kehidupan akhirat kelak.

Apabila makanan yang bersumber daripada duit haram masuk ke dalam perut, maka Allah mengancam menghumban ke dalam api neraka sepertimana sabda Rasulullah SAW, “Setiap daging yang tumbuh dari barang yang haram, maka neraka lebih utama baginya.”

Jelas sekali pak Rahman mengetahui dan menghayati bunyi hadis itu sehingga beliaupun mengamalkannya dalam kehidupan sehari-hari. Beliau memastikan makanan yang disuapkan kepada anak-anaknya dan biaya semasa mereka menuntut ilmu bersumber daripada rezeki yang bersih, halal, tidak tercemar dengan sumber yang syubhah apalagi yang haram.

Meskipun hanya sebagai rakyat jelata, Pak Rahman juga mengetahui dan mengambil berat akan kehalalan rezeki yang diperolehnya kerana mengetahui ia akan memberi kesan besar kepada pembentukan watak peribadi dan perilaku anak-anaknya kelak kalau sudah besar.

Pak Rahman juga menginsafi bahawa sumber rezeki yang haram akan menjadi hijab atau penutup daripada doa-doa yang dipanjatkan. Allah SWT tidak akan memperkenankan doa orang yang bergelumang dengan sumber rezeki yang haram sepertimana dalam sabda Rasulullah SAW, “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah itu toyyib (baik). Allah tidak akan menerima sesuatu melainkan dari yang toyyib (baik). Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada orang-orang Mukmin seperti yang diperintahkan-Nya kepada para Rasul. Firman-Nya: ‘Wahai para Rasul! Makanlah makanan yang baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.’ Dan Allah juga berfirman: ‘Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah rezeki yang baik-baik yang telah kami rezekikan kepadamu.” Kemudian Nabi SAW menceritakan tentang seorang lelaki yang telah menempuh perjalanan jauh, sehingga rambutnya kusut, masai dan berdebu. Orang itu mengangkat tangannya ke langit seraya berdoa: “Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku.” Padahal, makanannya dari barang yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan diberi makan dari yang haram, maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya?” (HR Muslim no. 1015).

Selain itu, pak Rahman juga mengetahui bahawa sumber makanan haram akan menyebabkan segala amal manusia tidak diterima selama empat puluh hari. Ibnu Abbas berkata bahawa Sa’ad bin Abi Waqash berkata kepada Nabi Muhammad SAW, “Ya Rasulullah, doakanlah aku agar menjadi orang yang dikabulkan doa-doanya oleh Allah”. Rasulullah bersabda, “Wahai Sa’ad perbaikilah makananmu (makanlah makanan yang halal) nescaya engkau akan menjadi orang yang selalu dikabulkan doanya. Dan demi jiwaku yang ada di tangan-Nya sungguh jika ada seseorang yang memasukkan makanan haram ke dalam perutnya, maka tidak akan diterima amalnya selama 40 hari dan seorang hamba yang dagingnya tumbuh dari hasil menipu dan riba, maka neraka lebih layak untuknya” (HR At-Thabrani).

 

Pengajaran Dari Kisah Ibrahim Adham

Beliau teringat satu kisah seorang salafus soleh bernama Ibrahim bin Adham. Diceritakan bahawa setelah menunaikan ibadah haji, Ibrahim hendak berziarah ke Masjid al-Aqsa. Sebagai bekal perjalanan, beliau membeli kurma satu kilogram kepada peniaga tua di halaman Masjidil Haram. Setelah menimbang dan membeli kurma itu, Ibrahim ternampak satu butir kurma di bawah penimbang. Menyangka sebutir kurma itu merupakan miliknya yang terjatuh, beliau pun mengambil lalu memakannya.

Empat bulan kemudian setelah sampai di Masjid al-Aqsa, Ibrahim tertidur di masjid. Ketika tidur, tiba-tiba beliau terdengar dua malaikat sedang bercakap-cakap tentang dirinya. “Itu Ibrahim bin Adham, ahli ibadah yang zuhud dan warak yang doanya selalu dikabulkan Allah,” kata malaikat yang satu.” Tetapi, sekarang tidak lagi. Doanya ditolak kerana empat bulan yang lalu ia memakan sebutir kurma yang jatuh dari meja seorang pedagang tua di dekat Masjidil Haram,” jawab malaikat yang seorang lagi.

Tersentak, Ibrahim terjaga daripada tidurnya dengan perasaan gundah gulana kerana selama empat bulan ini, segala amal dan doanya tertolak akibat memakan sebutir kurma yang bukan haknya. Segera beliau mengemas barangnya dan bertolak semula ke Mekah bagi menjumpai peniaga kurma tersebut.

Bagaimanapun, setibanya Ibrahim di Mekah, peniaga kurma itu dikhabarkan telah meninggal dunia. Kini, perniagaannya itu telah diambil alih oleh anaknya. Ibrahim kemudian mengutarakan maksud kedatangannya kepada pemuda itu iaitu minta dihalalkan kurma yang telah dimakannya itu. Pemuda itu, menerima permintaan Ibrahim itu dan menghalalkan kurma tersebut. Jawapan dari anak peniaga kurma itu sangat mengembirakan hati Ibrahim.

Namun demikian, memandangkan peniaga tua itu mempunyai sebelas orang anak, sang pemuda tidak berani menjamin kesemua saudaranya mempunyai pendapat yang sama dengan dirinya. Pemuda itu kemudian mencadangkan kepada Ibrahim untuk menemui kesemua anak peniaga kurma itu untuk meminta dihalalkan kurma yang telah dimakannya itu. Meskipun rumah mereka berasingan dan berjauhan, akhirnya Ibrahim berjaya meminta reda dan kehalalan daripada mereka semua.

Empat bulan kemudian, setelah sampai lagi di Masjid al-Aqsa, di tengah-tengah kekhusyukan beribadah, Ibrahim terdengar dua orang malaikat yang bercakap-cakap, “Itulah Ibrahim bin Adham yang doanya tertolak disebabkan makan sebutir kurma milik orang lain.”

“Oh, tidak.., sekarang doanya sudah dimakbulkan. Ia telah mendapat penghalalan dari kesemua waris pemilik kurma itu. Diri dan jiwa Ibrahim kini telah bersih kembali dari kotoran sebutir kurma yang dianggap haram kerana masih milik orang lain. Sekarang beliau sudah bebas.”

 

*****

Kisah itu memberi iktibar dan pengajaran yang penting kepada kita bahawa meskipun hanya sebutir kurma, tetapi kalau bukan hak dan milik kita jangan mengambil hak orang lain tanpa keizinan. Kisah ini memberi amaran keras jangan semberono mengambil sumber yang haram kerana akibatnya membuatkan amal ibadah dan doa tertolak. Kita mesti berhati-hati terhadap segala sumber rezeki dan makanan yang masuk ke dalam badan kita tidak berasal daripada sumber yang haram.- MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *