Home » Muamalah » Wasatiyyah dalam berbelanja

Wasatiyyah dalam berbelanja

Oleh ABU HATIM

Islam mengeji perbuatan boros sebaliknya menggalakkan sifat hemah dan berhemat dalam menguruskan perbelanjaan. Dalam al-Quran, Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (al-Furqan: 67).

Oleh kerana itu, Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya untuk mengambil sifat pertengahan di antara kedua sifat itu iaitu berlaku hemah dalam mengeluarkan harta atau perbelanjaan dan berhemat iaitu tidak cenderung kepada kekikiran dan tidak pula kepada pemborosan atau pembaziran (bersederhana).

Sesungguhnya orang yang boros ialah orang yang mengeluarkan atau berbelanja hartanya secara berlebih-lebihan di luar keperluan yang sebenar. Golongan ini juga diumpamakan sebagai saudara syaitan (Surah al-Isra ayat 27), kerana sering mengeluarkan hartanya atau berbelanja hartanya pada jalan yang tidak bermanfaat, bahkan pada jalan kemaksiatan. Tabiat membazir ini amat di benci Allah dan sebaliknya amat disukai syaitan, sedangkan syaitan itu menjanjikan kekafiran.

Tegahan dan larangan bersifat boros juga sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bazzar yang bermaksud: “Sesiapa yang berjimat cermat, tentu Allah memberikan kekayaan kepadanya. Dan sesiapa yang boros, tentu Allah menjadikannya miskin. Dan sesiapa yang merendah diri, tentu Allah akan mengangkat (darjatnya) dan sesiapa yang bongkak atau sombong nescaya Allah akan memutuskannya (memusuhinya).” Justeru, syariat Islam memberi peringatan akan bahaya as-saraf (pemborosan) termasuk berlebihan dalam perbelanjaan.

Al-Quran telah menegaskan bahawa tipologi manusia melakukan pembaziran wang dan berpoya-poya di saat ketika berada dalam kesenangan. Mereka tidak berada dalam kehidupan yang sederhana dan keseimbangan. Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud: “Dan jikalau Allah SWT melapangkan rezeki kepada hamba-hamba-Nya tentulah mereka akan melampaui batas di muka bumi, tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendaki-Nya dengan ukuran. Sesungguhnya Dia Maha mengetahui (keadaan) hamba-hamba-Nya lagi Maha Melihat.” (Asy-Syura: 27).

Islam menggalakkan sifat sederhana dalam perbelanjaan dan penggunaan. Menyederhanakan perbelanjaan bermaksud berbelanja ‘minimum’  setakat yang dapat mengawal atau menahan kehendak nafsu dan tidak pula memudaratkan atau menghalang kelangsungan hidup. Tidak pula bermaksud menjadikan kehidupan ahli salaf sebagai kayu ukur untuk sifat kesederhanaan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jauhilah gaya hidup bermewahan. Sesungguhnya hamba-hamba Allah itu bukan orang yang bermewah-mewahan.”

Sebagai umat Islam dan rakyat sebuah negara, kita perlu sedar dan sentiasa bersiap sedia jasmani dan rohani untuk melalui masa gawat dan kesempitan serta sanggup merubah sikap untuk berjimat cermat dan berhemat dalam perbelanjaan setiap masa. Ini bagi membolehkan kita bersedia mengharungi sebarang ujian dan dugaan dalam kehidupan ini dengan penuh keselesaan. Kesederhanaan atau wasatiyyah harus diterapkan dalam setiap urusan hidup termasuk dalam urusan perbelanjaan seharian. Ali Sabit pernah berkata:”Penyakit akal itu bangga diri dan emosi, dan penyakit harta itu ialah pemborosan.”

Selain daripada itu, pihak berkuasa sendiri perlu berlaku adil untuk melantik mereka yang mampu dan layak untuk menjalankan tugasnya dengan baik dan berkesan sesuai dengan bidang masing-masing terutama dalam hal-hal pengurusan yang berkaitan dengan ekonomi.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (an-Nisa: 58). – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *