Home » Wacana » Pengembaraan adalah satu kesengsaraan

Pengembaraan adalah satu kesengsaraan

Oleh ABDUL HAYEI ABDUL SUKOR

Dr Abdul Hayei Abdul Sukor ialah Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2011 dan bekas Dekan dan Pensyarah di Fakulti Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Mengembara adalah satu potongan daripada beberapa potongan kesengsaraan. Seorang kamu sering terganggu makan minum dan tidurnya (ketika mengembara). Oleh itu, apabila hajat seorang kamu selesai, segeralah pulang untuk bersama keluarganya.”

  1. Perkataan al-safar membawa erti berpindah dari satu tempat tinggal ke tempat tinggal yang lain kerana tujuan-tujuan tertentu seperti menuntut ilmu, menunaikan haji atau umrah, mencari rezeki dan sebagainya. Ia boleh disinonimkan dengan perjalanan, pengembaraan, penjelajahan, bermusafir, perkelanaan atau pelancongan dengan sedikit perbezaan pada objektif dan matlamatnya. Tulisan ini memilih pengembaraan sebagai erti perkataan “al-safar” dalam teks sabda di atas.
  2. Perkataan Qit’atun, ertinya satu potongan berukuran kecil.
  3. Perkataan qada, ertinya sempurna atau selesai.
  4. Perkataannahmatahu, ertinya hajatnya atau keperluannya.

Realiti

Pengembaraan pada suatu ketika dahulu disinonimkan dengan kesengsaraan kerana jauhnya jarak perjalanan yang dilalui pengembara. Ada kalanya pengembara terpaksa merentas padang pasir, gunung-ganang, belukar dan hutan rimba dari negeri ke negeri. Penderitaan bertambah sulit dengan ketiadaan kenderaan yang sesuai untuk perjalanan seumpama itu. Kalaupun ada, hanya unta yang dikenali sebagai ‘kapal padang pasir’ dan kenderaan paling awal dalam sejarah manusia digunakan untuk merentas padang pasir dan perjalanan-perjalanan jauh.

Kini, zaman telah berubah. Kenderaan pada zaman moden bukan lagi unta atau lembu, tetapi kenderaan-kenderaan mewah dengan memakai pelbagai jenama, sama ada di darat, di laut atau di udara yang dilengkapi dengan peralatan mewah dengan  ciri-ciri keselamatan bermutu tinggi. Dalam kenderaan, disediakan pula makan minum yang baik, tempat tidur yang selesa dilengkapi dengan alat-alat komunikasi moden malah ada yang dikawal anggota keselamatan pada setiap masa.

Satu hakikat yang tidak berubah, pengembaraan menempah pelbagai kesengsaraan. Sebagai contoh, pengembaraan untuk menunaikan ibadah haji setengah dekad yang lalu terpaksa mengambil masa selama enam bulan termasuk masa pergi dan pulang melalui jalan laut, berbanding masa kini yang hanya mengambil masa 42 hari melalui jalan udara, termasuk 16 jam penerbangan pergi dan pulang.

Meskipun pengembaraan untuk menunaikan ibadah haji pada masa kini tidak memakan masa yang lama, kesengsaraan masih dirasai dan tidak dapat diatasi. Misalnya, mengembara melalui jalan udara memaksa kita menunggu selama beberapa jam, malah ada yang memakan masa hingga berberapa hari sebelum berlepas pergi dan memakan masa lagi beberapa hari atau beberapa jam sebelum berangkat pulang. Ini tidak termasuk beberapa minggu masa yang diambil untuk melakukan persiapan pergi dan beberapa minggu sebelum masa yang diambil untuk persiapan pulang. Hakikatnya, penderitaan menunggu lebih menjemukan berbanding penderitaan semasa dalam perjalanan.

Di dalam hadis ini juga ada menyebutkan tentang gangguan yang biasa berlaku semasa pengembaraan iaitu gangguan makan, minum dan tidur. Tiga keperluan ini selalunya berjalan mengikut jadual yang ditetapkan, terutama pada masa pengembara bermukim di rumah. Tiga keperluan ini boleh mengganggu semua aktiviti harian jika tidak diuruskan dengan baik.

Di samping makan dan minum yang terganggu, pengembara terpaksa menerima perubahan jadual dan menu semasa kembara. Malah, jadual tidur juga bercelaru disebabkan perubahan waktu siang dan malam yang tidak menentu. Hakikatnya, Allah SWT menciptakan waktu malam dan siang sebagai dua waktu yang mengimbangi aktiviti di antara kedua waktu tersebut iaitu siang untuk berkerja, malam untuk tidur. Namun, kebiasaannya pengembara sukar mengisi program dengan seimbang disebabkan kesuntukan masa.

Hukum

Khusus kepada pengembara, Allah SWT menawarkan beberapa kemudahan kepada mereka dalam hal-hal yang berkaitan dengan amal ibadat memandangkan kesulitan yang mereka tanggung dalam pengembaraan. Dua keistimewaan dan kelonggaran yang dikurniakan kepada pengembara ialah dibolehkan berbuka puasa pada bulan Ramadan dan boleh menunaikan solat fardu secara qasar dan jamak. Dua keistimewaan dan kelonggaran ini secara ringkasnya adalah  seperti berikut:

  1. Diharuskan berbuka puasa di bulan Ramadan dalam masa pengembaraan dan menggantikannya selepas Ramadan.
  2. Allah SWT memberi kelonggaran menghimpunkan dua solat dalam satu waktu, iaitu Zohor dan Asar dalam satu waktu, Maghrib dan Isyak dalam satu waktu, sama ada takhir atau taqdim dan memendekkan solat empat kepada dua rakaat sahaja dengan syarat mematuhi hukum-hukum berikut:
  3. Hukum jamak dan qasar solat hanya boleh dilakukan apabila seseorang pengembara keluar dari kawasan taman perumahannya.
  4. Bagi seorang pengembara yang sedang bermukim, kemudian dia keluar dari rumahnya selepas masuk waktu solat, diharuskan baginya menggunakan hak-haknya sebagai pengembara, iaitu jamak dan qasar. Namun, sebahagian ulama menyatakan tiada hak.
  5. Jika seorang pengembara tidak sedar dia dalam pengembaraan, lalu dia bersolat tamam, (tanpa qasar), sah solatnya. Jika pengembara beranggapan dia dalam pengembaraan, sedangkan dia belum memulakan pengembaraan, harus baginya solat qasar. Namun, sebahagian ulama menyatakan hendaklah dia mengerjakan solat tamam.
  6. Pengembara yang menjadi makmum kepada imam yang bermukim, hendaklah dia bersolat tamam empat rakaat sekalipun dia sempat bersama imam hanya dalam tasyahud akhir.

Pengembara yang telah selesai menyempurnakan tugas-tugas pengembaraannya hendaklah pulang segera untuk bersama keluarganya supaya dia bebas dari kesengsaraan dalam pengembaraan dan menghapuskan kesengsaraan yang ditanggung keluarga.

Hal ini kerana, keluarga yang sedang menunggu kepulangannya sama ada anak-anak, isteri, ibu bapa dan sanak saudara mereka mempunyai hajat yang pelbagai. Anak-anak mungkin dengan urusan persekolahannya, isteri dengan urusan rumah tangga dan perbelanjaan hariannya, ibu bapa dengan segala rasa kebimbangan semasa pengembaraan anak kesayangannya. Dan mungkin juga ketiadaan disepanjang kembaranya itu menimbulkan keresahan dan kerisauan orang ramai memandangkan sikapnya yang disenangi.

Pengajaran dan Saranan

  • Kembara biarpun dengan apa cara dan kaedahnya tetap terkandung risiko dan kesengsaraan. Pengembara mungkin dapat mengumpul seribu satu kenangan manis, tetapi kesengsaraan pahit yang dialami tetap dikenang.
  • Mengembara diharuskan bagi tujuan-tujuan seperti perniagaan, pelajaran, perubatan dan pembebasan diri dari tekanan kerja.
  • Pengembara tidak harus melengah-lengahkan kerja yang boleh diselesaikan segera dengan mengutamakan kepentingan sendiri sedangkan masa yang dimiliki tidak sebanyak bebanan kerja yang ditanggung.
  • Mengembara adalah hak yang dibenarkan oleh Islam, malah kembara telah menjadi sebahagian tradisi ulama silam bagi melengkapkan keperluan akademik mereka sebagai ilmuwan agung.

sumber -MAJALAH DAKWAH

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *