Home » Persuasif » Sentiasa melindungi dan menyayangi…

Sentiasa melindungi dan menyayangi…

Selepas keluarga, seperti keluarga

Susunan WARTAWAN DAKWAH

Emak selalu mengingatkan aku agar bijak dalam memilih sahabat. Kata emak, sahabat adalah barisan kedua yang akan sentiasa melindungi dan menyayangi kita selepas keluarga, malah seperti keluarga. Maka itu, memilih sahabat yang baik adalah antara pilihan yang perlu diteliti sebaik-baiknya.

Mungkin kerana takut tersalah pilih, aku tidak mempunyai ramai kawan mahupun sahabat. Satu-satunya sahabat yang aku ada ialah Azizul Akmar. Azizul Akmar sahabatku semenjak sekian lama. Kami berkawan sedari kecil lagi. Rumahnya yang terletak bersebelahan sekolah kami menjadi rumah persinggahanku setiap hari selepas tamat sesi persekolahan. Selepas mengulangkaji pelajaran dan bermain, kami akan pergi mengaji muqaddam di rumah Tok Napi bersama-sama.

Kami masih lagi bersahabat selepas tamat sekolah rendah. Malah, persahabatan antara kami semakin akrab sehingga kawan-kawan dan para guru memanggil kami pasangan kembar dan belangkas! Tambahan pula, kami sekelas, jadi ke mana-mana sahaja kami akan kelihatan bersama. Apabila salah seorang dari kami tidak hadir ke sekolah, pasti akan kelihatan janggal dan mulalah soalan bertalu-talu diterima dari rakan-rakan mahupun guru kelas bertanyakan ke mana perginya ‘kembarku’ Azizul.

Peristiwa yang tidak dapat dilupakan adalah ketika meraikan Hari Guru semasa kami berada di tingkatan lima. Aku dan Azizul telah ditugaskan mengetuai jawatankuasa persembahan dan gimik. Gimik yang kami fikirkan ialah membuat undian dan pemilihan wajah seiras di antara guru dan pelajar dan meminta mereka mengenakan pakaian yang sama semasa majlis sambutan Hari Guru tersebut. Pelajar yang seiras akan mengiringi guru ‘kembar’ mereka ke pentas sambil masing-masing membawa kek cawan yang berbentuk seperti jiwsaw yang kemudiannya dikumpulkan dan dicantum di atas meja di tengah pentas sehingga membentuk logo lencana sekolah.

Gimik itulah yang sentiasa menjadi buah mulut sehinggalah ke hari ini; sudah 35 tahun berlalu. Kini, kawan-kawan yang lain sudah bertaburan membina kerjaya dan mencari rezeki. Kesempatan berhubung hanya menerusi media sosial sementelah kesibukan masing-masing. Diyana, rakan yang aku kenali sebagai seorang yang sentiasa ceria dan gemar berkawan menjadi pentadbir bagi semua kumpulan-kumpulan kami di media sosial. ‘Kumpulan Sweet 58’, Kumpulan Alumni SMKJ’ dan ‘Kumpulan Anak Kampung Dato’ Taib’ merupakan kumpulan yang sentiasa ceria dan kecoh dengan cerita dan usikan ahli-ahlinya.

Namun, dimanakah keberadaan sahabatku Azizul Akmar kini?

Reunion

Cadangan mengadakan perjumpaan reunion oleh Adnan, kawan sekampung dari kumpulan WhatsApp Kumpulan Anak Kampung Dato’ Taib hari itu mendapat sambutan dan sokongan majoriti daripada ahlinya. Masing-masing tidak ketinggalan mencadangkan tarikh dan lokasi yang bersesuaian dengan jadual masing-masing. Aku sekadar berharap agar kesempatan ini dapat menemukan aku semula dengan sahabat karibku, Azizul. Entah apa khabarnya sekarang.

Kali terakhir kami bertemu adalah ketika kami bercuti semester akhir universiti masing-masing. Aku, menyambung pelajaranku di Universiti Malaya manakala Azizul, di Universiti Utara Malaysia. Banyak yang kami bualkan sehingga kisah cinta monyet masing-masing turut menjadi topik perbualan. Sungguh indah kenangan pada masa itu. Namun, selepas habis cuti semester itu, tiada langsung khabar berita dari Azizul diterima. Nombor telefon bimbitnya juga sudah tidak beroperasi lagi. Azizul seolah-olah ghaib daripada muka bumi. Harapanku, agar Azizul hadir dalam perjumpaan yang dirancang ini, walau aku sedar, nombor telefonnya tidak berada di dalam kumpulan.

Di restoran berhawa dingin itu, beberapa rakan lama sudah mula memenuhi ruang dan berbual-bual di dalam kelompok-kelompok kecil. Di luar, deretan kereta-kereta mewah tersusun kemas. Aku masuk berjumpa dengan mereka dan bertegur sapa. Rata-rata kami sudah lama tidak berjumpa atau bertegur sapa secara bersemuka selepas tamat sekolah menengah.

Boleh dikatakan, mereka berkumpul dalam pelbagai kelompok. Ada kelompok guru, businesman, kakitangan kerajaan, suri rumah dan penyendiri. Aku sendiri memilih untuk menyendiri. Walau sesekali ditegur mesra oleh kawan-kawan yang hadir, di dalam hati, masih berharap agar kelibat Azizul kelihatan.

Bukan tidak mahu bercampur dan beramah mesra. Tetapi, topik perbualan mereka, selain bertanyakan khabar diri, keluarga dan kerja, jenis kereta yang dipakai juga menjadi topik utama berbualan..

“Kereta apa yang engkau bawa sekarang?”

Aduh! Menjengkelkan sungguh! Ini perjumpaan reunion atau perjumpaan untuk menunjukkan kekayaan masing-masing? Lebih memualkan apabila ada yang bercerita mengenai perniagaannya yang besar, berkahwin dua, membeli pelbagai hartanah, ada pelbagai kereta mewah dan sering melancong ke luar negara. Aku hanya lebih banyak tersenyum dan menganggukkan kepala. Malas melayan mereka yang mendabik dada sudah menjadi orang ada-ada ini.

Azizul, dimanakan engkau?

Sudah satu jam lebih aku di sini. Mengharapkan agar Azizul ada bersama. Tapi, kelibatnya masih tidak kelihatan. Terasa bosan untuk berada lama di sini, aku meminta diri untuk pulang. Tetapi kemudian kedengaran namaku dipanggil.

“Bakhtiar…Bakhtiar…tunggu!”

Aku cepat-cepat menoleh ke belakang. Dan kelibat orang yang aku tunggu-tunggu itu betul-betul berada di depan mataku kini. Tanpa sempat berkata apa-apa, aku terus dirangkulnya. Erat, kejap.

“Bakhtiar, aku mohon maaf sebab senyap tanpa berita selama ini. Aku tahu, kau tidak pernah berhenti mencariku. Arwah ibu ada bercerita padaku setiap kali kau pulang ke kampung, pasti kau akan bertanyakan tentang keberadaanku. Maafkan aku.”

Aku cuba menahan air mata daripada berguguran. “Tak mengapa, sahabat. Aku percaya pasti ada sebabnya apa yang berlaku. Apapun, lupakan sahaja sahabat, kerana apa yang berlalu itu sudahpun berada di belakang dan apa yang penting kini adalah hari ini dan masa mendatang.” Azizul ku lihat turut cuba menahan air matanya daripada gugur. Kawan-kawan yang lain mendekati kami sambil mengimbau kenangan lalu, termasuk memori ketika meraikan Hari Guru, 35 tahun lalu.

Azizul langsung tidak berubah dan tetap sama seperti yang ku kenali. Rupa-rupanya, selama 25 tahun, dia berkelana di bumi Paris, Perancis mempelajari selok-belok masakan di sana. Memang Azizul yang ku kenali gemar memasak. Pelbagai masakan yang dicubanya termasuk mengubahsuai resipi tradisional yang ada kepada citarasa kontemporari.

Dan hari itu, kami banyak mengimbau kenangan lalu, bercerita tentang peristiwa melastik burung, memedap ikan puyu di paya dan dihambat jiran setelah mencuri ubi kayu untuk dibakar. Sungguh indah dan damai sekali perasaan dapat mengimbau kenangan lalu bersama teman seperjuangan. Sahabat tanpa syarat.

 

*****

Pertemuan tempoh hari merupakan pertemuan terakhir aku dan Amirul. Rupa-rupanya, dia kembali ke tanahair hanya untuk menghabiskan sisa-sisa usianya sebelum menghembuskan nafas terakhir. Penyakit yang dideritainya semenjak 30 tahun lalu telah menyebabkan dia merantau mencari penawar. Penyakit yang dideritainya diketahui semasa dia menuntut di universiti lagi. Dia memilih untuk menyembunyikan kesakitannya itu daripada pengetahuanku kerana tidak mahu pelajaran aku terganggu. Dia faham, sebagai sahabat baik, aku pasti akan berasa risau kerana sahabat yang baik akan sentiasa melindungi dan menyayangi kita selepas keluarga – seperti keluarga.

Imam Syafie pernah berkata, “Jika engkau punya teman yang selalu membantumu dalam rangka ketaatan kepada Allah SWT, maka peganglah dia erat-erat, jangan pernah kau lepaskannya. Kerana mencari teman baik itu susah, tetapi melepaskannya sangat mudah sekali.”

Luqman al-Hakim juga berpesan kepada anaknya, “Perumpamaan teman yang baik adalah seperti pohon yang jika kau duduk di bawahnya, ia dapat menaungimu, jika kau mengambil buahnya dapat kau makan dan nikmati. Namun, jika ia tidak memberikanmu sebarang manfaat, ia tidak akan membahayakanmu.”

Sahabatku,

Aku sedar kini, rumah cuma tempat berteduh, kereta sekadar alat pengangkutan, pakaian hanya sebagai alas diri…

Kita mampu memiliki dan mengganti kesemuanya itu bila-bila masa bergantung kepada kemampuan dan pilihan yang ada di tangan kita…

Ternyata harta yang dikumpul dalam hidup telah memisahkan banyak persahabatan. Namun, jika hati masih ikhlas bersahabat tanpa syarat, persahabatan akan kekal hingga ke hujung nyawa…

Hingga selama-lamanya…

Hingga ke syurga…

Damailah kau di sana wahai sahabat. Moga rohmu ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman. Amin.-MAJALAH DAKWAH

 

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *