Home » Wacana » Perbelanjaan berhemat bahagiakan rumah tangga

Perbelanjaan berhemat bahagiakan rumah tangga

Oleh ABDUL HAYEI ABDUL SUKOR

Dr Abdul Hayei Abdul Sukor ialah Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2011 dan bekas Dekan dan Pensyarah di Fakulti Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

 عنْ هَمَّامِ بْنِ مُنَبِّهٍ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا هُرَيْرَةَ يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَنْفَقَتْ الْمَرْأَةُ مِنْ كَسْبِ زَوْجِهَا مِنْ غَيْرِ أَمْرِهِ فَلَهَا نِصْفُ أَجْرِهِ

Maksudnya: “Berkata Hammam bin Munabbih: ‘Aku dengar Abu Hurairah RA berkata: Sabda Nabi SAW: ‘Apabila seseorang isteri memberi sedekah (zakat) daripada hasil pendapatan suami tanpa izinnya, isteri akan memperolehi pahala separuh daripadanya”. (HR Abu Dawud no1687)

Islam menyarankan insan yang mukallaf, berakal dan sampai usia baligh, lelaki dan perempuan agar mencari rakan kongsi untuk mendirikan rumah tangga bahagia dan membina sebuah keluarga bagi menambahkan unit-unit keluarga dalam institusi masyarakat dan negara. Unit ini pada mulanya membenih daripada lelaki dan perempuan melalui akad perkahwinan yang sah dan cukup syarat-syaratnya, sebelum masing-masing bergelar suami dan isteri, ibu dan bapa dengan tugas dan tanggungjawab bersama tetapi berbeza.

Pada hakikatnya, perkahwinan bukan sahaja pertemuan di antara dua pasangan yang diikat dengan akad nikah tetapi pertemuan itu menjadi lebih jauh lagi apabila hubungan diperkukuhkan dengan pertautan silaturahim di antara keluarga yang mungkin berbeza rumpun, budaya, adat resam, cara hidup, bahkan di antara sesebuah negara dengan negara yang lain.

Hakikat ini dijelaskan oleh Allah SAW di dalam surah al-Rum; ayat 21 yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu berpasang-pasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berfikir”.

Perasaan kasih sayang dan rahmat yang terungkap dalam ayat ini merupakan anugerah Allah SWT yang sangat berharga bagi melanjutkan kesinambungan sebuah keluarga terutama kepada pasangan yang baru mendirikan rumah tangga. Anugerah ini jika dipupuk rasa kasih sayang dan kemesraan dengan baik, akan menjalar ke kawasan yang lebih luas lagi hingga kepada masyarakat yang lebih besar sehingga mungkin mampu merentasi sempadan negara dan benua.

Sebuah rumah tangga yang dibina berlandaskan kasih sayang dan kemesraan, akan terbina pula perkongsian cita-cita dan wawasan dalam satu pakatan yang tiada lagi sempadan pemisah, malah kedudukan mereka bagaikan dua jiwa yang menyatu dalam satu tubuh.

Tanggungjawab

Meskipun lelaki dipertanggungjawabkan dalam syariat Islam dengan bebanan yang lebih besar untuk menyara keluarga dan berusaha memelihara kepentingan dan keselamatan mereka, namun wanita juga tetap memikul tugas dan kewajipan yang sama sebagai pembantu yang taat dan setia kepada suami, sama ada dengan jiwa raga atau harta benda dan sama ada daripada pendapatan suami atau harta kepunyaan yang diperolehinya melalui pendapatannya sendiri, peninggalan pusaka atau daripada sumber-sumber lain.

Kedudukan

Dalam syariat Islam, isteri mempunyai taraf yang tinggi dan mempunyai kuasa selaku wakil dalam pengurusan perbelanjaan rumah tangga dengan syarat perbelanjaan itu dilakukan dengan berhemat tanpa pembaziran atau melampaui batas-batas yang wajar. Oleh itu, setiap wang ringgit dari belanjawan rumah tangga atau setiap cebis dari bekalan makanan yang diperuntukkan oleh suami yang dibelanjakan oleh isteri dengan hemat dan wajar, akan membolehkannya memperolehi ganjaran yang baik sama dengan ganjaran dan penat lelah suami yang menghasilkan pendapatan itu. Begitu juga dengan penjaga atau pengurus yang diamanahkan untuk mentadbir belanjawan dalam rumah. Seseorang akan beroleh ganjaran yang baik dari Allah apabila dia mengaturkan perbelanjaan itu dengan penuh berhemat dan wajar.

Hadis ini meletakkan satu garis panduan asas bagi para isteri dan pengurus rumah tangga yang diamanahkan untuk menyelenggara belanjawan sebuah rumah tangga. Setiap mereka harus menguruskan belanjawan rumah tangga dengan berhemat dan menjauhi sebarang perbelanjaan yang membazir atau sia-sia yang membebankan suaminya.

Kemampanan belanjawan rumah tangga terletak pada kebijaksanaan para isteri menyesuaikan dengan pendapatan suaminya namun, apabila kebijaksanaan itu tiada, rumah tangga akan menjadi pincang, malah suami dibimbangi akan menjadi mangsa kepada riba, ceti haram, dan terperangkap dalam belenggu hutang di luar keupayaan membayarnya.

 Dosa dan Pahala

Dalam Islam, konsep pengurniaan pahala amat melimpah sesuai dengan sifat Allah yang Maha Pemurah, Maha Penyayang dan Maha Pengasih terhadap hamba-Nya. Pahala itu diberi-Nya kepada sesiapa sahaja yang mempunyai saham dalam perlaksanaan sesuatu kerja yang baik, atau siapa sahaja yang memainkan sebarang peranan di dalam mana-mana amal bakti termasuk kerja pengurusan rumah tangga yang berhemat.

Hukum

Beberapa riwayat hadis memperincikan hukum pengurusan isteri pada belanjawan yang diberi suami sepertimana berikut:

  1. Pada dasarnya, para isteri bertanggungjawab memelihara harta suami masing-masing dan tidak harus membelanjakan harta mereka pada perkara yang mendatangkan kemudaratan. Para isteri hanya dibenarkan mengurus pada perkara yang menyentuh kepentingan keluarga, diri dan anak-anaknya mengikut kadar yang biasa dibelanjakan suami. Selebihnya hendaklah dengan izin suami. Jika perbelanjaan itu bukan untuk kepentingan keluarganya yang terdekat, maka hendaklah mendapatkan keizinan suaminya terlebih dahulu. Jika perbelanjaannya itu berupa sedekah atau derma, maka pahala derma itu akan dikongsi dengan suaminya.
  2. Ada riwayat menyatakan, “apabila isteri membelanjakan daripada makanan suaminya”. Pengkhususan kepada makanan dalam riwayat ini secara tidak langsung menarik perhatian kepada perbelanjaan isteri daripada harta dan wang ringgit yang dimiliki. Biasanya para suami bermurah hati dengan makanan tetapi tidak semurah itu dengan harta dan wang ringgit. Para isteri harus lebih memahami dan mampu membaca perasaan suaminya terlebih dahulu sebelum menghulur derma berupa harta atau wang ringgit.

 

Kesimpulan Dari Hadis

  1. Isteri harus menjadi rakan kongsi yang jujur kepada suami dalam menguruskan belanjawan rumah tangga dan keluarga.
  2. Suami hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya dengan menyediakan bekalan nafkah terhadap keluarga dan isterinya.
  3. Isteri harus membelanjakan pendapatan suami tanpa mendapatkan keizinannya dengan syarat ia tidak menjejaskan belanjawan suami kepada keluarganya yang biasa ditunaikan.
  4. Suami harus mempertimbangkan sedekah dan pemberian isteri daripada hartanya kerana dengan cara ini perasaan kasih sayang menjadi lebih erat lagi.

SUMBER: MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *