Home » Persuasif » Merancang, jalan para Rasul

Merancang, jalan para Rasul

Oleh MOHD SHUKRI HANAPI

Dr. Mohd Shukri Hanapi, Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang

Dalam kesibukan kita menguruskan kehidupan harian, sedar atau tidak, kita kini sudahpun berada di pertengahan tahun. Waktu ini adalah masa yang paling sesuai bagi kita untuk melihat kembali perkara yang telah berlaku sepanjang tempoh setengah tahun 2017. Yang pastinya, setiap awal tahun, kita akan membuat azam baharu. Tidak kiralah sama ada tercapai ataupun tidak, kita mesti mengakui realiti keadaan kita sekarang.

Tidak dinafikan bahawa setiap insan akan mengimpikan suatu bentuk kehidupan yang baik. Dalam konteks Islam, kehidupan yang baik bermaksud mewujudkan keseimbangan antara aspek kerohanian dengan aspek kebendaan dalam kegiatan harian. Bagi mencapai kehidupan yang baik di dunia dan akhirat, setiap insan sama ada suka ataupun tidak perlu memikirkan perancangan (planning) hala tuju kehidupan mereka.

Perancangan amat penting bagi semua manusia yang hidup di atas muka bumi ini. Hidup tanpa perancangan yang sistematik sedikit sebanyak akan menjadikan umat Islam akan terus berada dalam keadaan lemah, tidak berdaya dan hidup serba kekurangan.

Kita perlu merancang kerana ia merupakan sunnah atau jalan para Rasul. Dalam hal ini, kisah Nabi Yusuf AS seperti yang digambarkan dalam al-Quran dapat memberikan pengajaran yang jelas betapa pentingnya perancangan untuk masa depan. Secara logiknya, al-Quran tidak menceritakan kisah ini hanya untuk bacaan semata-mata, tetapi ia diceritakan untuk kita jadikan sebagai iktibar bagi orang yang berfikir dan beriman kepada Allah SWT.

Allah SWT menjelaskan bahawa ketika utusan Raja Mesir datang kepada Nabi Yusuf AS di dalam penjara meminta Baginda mentakwilkan mimpi, ia berkata, “Yusuf, wahai orang yang amat dipercayai, terangkanlah kepada kami tentang (mimpi) tujuk ekor lembu betina yang gemuk-gemuk yang dimakan oleh tujuh ekor lembu betina yang kurus-kurus; dan tujuh tangkai (gandum) yang hijau dan (tujuh) lainnya yang kering (terangkanlah takwil mimpi itu) agar aku kembali kepada orang-orang (yang mengutus itu), semoga mereka akan mengetahuinya.” (Yusuf: 46)

 

Perancangan Masa Depan

Berdepan dengan tugas itu, Nabi Yusuf AS ternyata tidak hanya mentakwilkan mimpi itu sahaja, bahkan Baginda memberi petunjuk kepada mereka supaya membuat perancangan bagi masa depan untuk mengatasi kesukaran dan bahaya kelaparan yang diramalkan akan menimpa negeri mereka iaitu Mesir. Baginda mencadangkan beberapa langkah penting yang perlu diambil bagi menghadapi kesukaran tersebut.

Al-Sayyid Qutb dalam kitabnya Tafsir fi Zilal al-Qur’an mengatakan Raja (Mesir) itu meminta huraian erti mimpinya. Para pegawai kerajaan dan para ahli nujum tidak sanggup menghuraikan erti mimpi tersebut, kerana menganggap mimpi itu satu petanda akan berlaku kejadian-kejadian yang buruk. Sebaliknya, untuk menunaikan kehendak Raja, mereka memperlihatkan apa-apa sahaja yang dapat menyenangkan raja dan menyembunyikan sesuatu yang menyedihkan. Untuk itu, mereka menghindari daripada berbincang mengenai mimpi itu dengan mengatakan mimpi itu kosong dan tidak mempunyai sebarang erti.

Dalam hal ini, sikap Nabi Yusuf AS berlainan daripada para pegawai tersebut. Baginda mentakwilkan mimpi Raja dan menasihatkannya supaya berusaha mengatasi akibat-akibat yang ditunjukkan dalam mimpi tersebut. Baginda mencadangkan langkah-langkah yang sesuai dan menjelaskannya.

Paling tidak, terdapat empat langkah yang perlu dirancangkan itu. Pertama, perlu melipat gandakan lagi usaha bekerja yang sedang dilakukan serta menetapkan jangka waktu yang diperlukan. Kedua, perlu bersungguh-sungguh melakukan kegiatan pertanian dalam jangka masa tertentu. Ketiga, perlu berusaha meningkatkan pengeluaran; dan keempat, perlu bekerja keras secara terus-menerus dan bersungguh-sungguh.

Nabi Yusuf AS menyatakan, “Supaya kamu bercucuk-tanam selama tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa.” (Yusuf: 47). Maksudnya, bercucuk-tanam berturut-turut selama tujuh tahun musim subur, sebagaimana yang diisyaratkan dalam mimpi “Tujuh ekor lembu betina yang gemuk-gemuk”.  Kata Nabi Yusuf lagi, “Maka apa (gandum) yang kamu tuai hendaklah dibiarkan sahaja pada tangkainya” (Yusuf: 47). Maksudnya biarkan sahaja bijian gandum itu pada tangkainya kerana hal itu akan menjadikan gandum tahan daripada gangguan serangga perosak dan tidak terjejas akibat daripada perubahan cuaca panas.

Berdasarkan cadangan-cadangan itu, jelas menampakkan betapa pentingnya cara penyimpanan yang baik untuk menjaga keutuhan hasil bumi. Makna ayat tersebut mencakupi petunjuk mengenai kepentingan menyimpan dan cara hidup berekonomi, tidak boros dan tidak belebih-lebihan. Hal ini kerana Islam adalah agama yang mementingkan prinsip keseimbangan dan sama sekali menolak sifat bakhil dan mengharamkan pembaziran atau menggunakan harta untuk hal-hal yang tidak bermanfaat (maksud ayat 67 daripada Surah al-Furqan).

Dalam perancangan mengatasi kesulitan yang ditunjukkan oleh Nabi Yusuf AS itu, terdapat suatu perkara yang sangat perlu diberi perhatian, iaitu berhati-hati dalam membelanjakan harta dan tidak melakukan pembaziran. Perbelanjaan ditentukan kepada keperluan-keperluan utama, yang dikatakan oleh Nabi Yusuf “Kecuali sedikit untuk kamu makan” (Surah Yusuf ayat 47).

Baginda juga memberi petunjuk mengenai keharusan menggunakan harta simpanan dengan cara sebaik-baiknya, terutama pada masa kesulitan. Baginda berkata “Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit (sangat kemarau), yang  menghabiskan apa (makanan) yang kamu simpan untuk menghadapinya, kecuali sedikit daripada apa-apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih)” (Surah Yusuf ayat 48).

Hasil pemikiran dan perancangan Nabi Yusuf AS yang berdasarkan petunjuk Allah SWT kepadanya itu, maka umatnya terhindar daripada bencana kelaparan dan dapat mengatasi satu malapetaka yang besar.

Dalam Surah Yusuf ini juga, dijelaskan bagaimana Nabi Yaakub AS (bapa kepada Nabi Yusuf AS) membuat perancangan untuk mengurangkan risiko dengan memberi pesanan kepada anak-anaknya. Pesanan ini dijelaskan menerusi ayat 67 daripada Surah Yusuf yang bermaksud , “Dan ia berkata lagi: Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan. Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu daripada sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu (sebab dan musabab) itu hanya tertentu bagi Allah. Kepada-Nyalah aku berserah diri, dan kepada-Nyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri.”

Ayat-ayat ini perlu difahami dan dijadikan panduan supaya kita sentiasa bersedia dengan sesuatu perancangan untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Melalui perancangan yang baik dan teratur, sesuatu sumber itu dapat dioptimumkan manfaatnya bagi perancangan masa depan.

 

Islam, Agama Mengajar

Demikianlah ilmu perancangan yang telah lama tercatat dalam al-Quran untuk kepentingan umat manusia umumnya dan kesejahteraan umat Islam khususnya. Oleh itu, jelaslah bahawa Islam bukan agama yang mengajar orang berfikir secara membuta tuli atau bertawakal tanpa alasan. Islam adalah agama yang mengajar manusia supaya memerhatikan dan mempelajari dengan teliti terutama perkara yang berkaitan soal-soal pengeluaran, penggunaan dan keperluan-keperluan material lain yang diperlukan dalam kehidupan masyarakat.

Perlu ditegaskan, sesuatu pekerjaan atau projek, sama ada besar ataupun kecil tidak akan berjaya dilaksanakan dan tidak akan terjamin pencapaiannya jika dilakukan tanpa perancangan yang rapi dan tanpa pengorganisasian yang kemas. Undang-undang Islam sama ada yang bersifat peribadatan mahupun muamalat, masing-masing mempunyai dasar dan kaedah serta mempunyai maksud dan tujuan yang hendak dipraktikkan di dalam kehidupan.

Rasulullah SAW dalam segala hal amat mementingkan perancangan. Misalnya, sebaik sahaja tiba di Madinah, lalu Baginda SAW segera meletakkan dasar-dasar bagi terbentuknya pemerintahan Islam pertama di dunia. Baginda membangunkan masjid sebagai tempat ibadah; tempat bermesyuarat; tempat untuk mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar khususnya dan untuk memperkukuhnya persaudaraan semua umat Islam pada umumnya. Selepas itu Baginda mengadakan perjanjian dengan golongan Yahudi, meletakkan dasar perundangan Kota Madinah agar setiap orang dapat mengetahui kedudukan dalam masyarakat serta mengetahui perkara yang menjadi hak dan kewajipannya. Samalah juga perkara yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW pada malam Hijrah; malam ‘Aqabah dan peristiwa yang berlaku di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam. Semua ini membuktikan Islam amat mementingkan perancangan yang teratur dan kemas.

Oleh itu, jelaslah bahawa Islam mementingkan perancangan. Ia selari dengan gesaan al-Quran dan langkah-langkah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Sebenarnya semua yang ada di alam ini juga berlaku mengikut perancangan dan peraturan yang kemas. Bila perancangan dan peraturan itu rosak, maka rosaklah alam ini.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Matahari berjalan di tempat peredarannya; demikianlah ketetapan yang Maha Kuasa lagi Maha Mengetahui. Dan telah Kami  tetapkan bagi bulan ia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga kelihatan di akhir peredarannya kelihatan kembalinya ke peringkat awalnya seperti tandan yang kering. Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malam pula tidak dapat mendahului siang, kerana tiap-tiap satunya beredar di tempat edarannya masing-masing.” (Yasin: 38-40)

Antara faktor yang menyebabkan umat Islam mundur dan dilanda kemiskinan pada abad-abad terakhir ini ialah keengganan mereka menilai sesuatu dari sebab musabbab. Selain itu, ia juga disebabkan oleh cara penggunaan tenaga mereka. Mereka lebih suka mengikut kehendak hawa nafsu. Malah sering dipengaruhi oleh berbagai pengaruh dari Barat bermula dari cara hidup, cara berfikir, perangai, tingkah laku dan sebagainya.

Banyak ayat al-Quran membincangkan masalah penyerahan soal-soal keduniaan kepada manusia, semata-mata untuk membolehkan kita merenung dan berfikir, kemudian membuat perancangan dan bekerja menunaikan tugas yang dipertanggungjawabkan dengan sebaik-baiknya.

 

Wawasan 2020 dan TN50

Sebagai contoh pelaksanaan perkara ini, Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia telah membuat satu perancangan iaitu memperkenalkan Dasar Transformasi Nasional pada tahun 2010. Ia meletakkan Malaysia di landasan yang tepat untuk mencapai Wawasan 2020, yang hanya tiga tahun dari sekarang. Namun, bagi menjadikan rakyat Malaysia terus berpandangan jauh, tidak terlalu leka dan khusyuk dengan pencapaian dalam masa tiga tahun ini, maka diperkenalkan TN50 bagi membolehkan mereka mengatur langkah dan bersiap sedia untuk perjalanan baharu Malaysia iaitu pasca 2020. Perancangan TN50 ini penting sebagai asas untuk semua rakyat Malaysia merancang proses dan gerak kerja selama tiga dekad bagi memeta hala tuju negara di atas kanvas yang baharu.

Hasil daripada perancangan demi perancangan yang dilaksanakan oleh Malaysia selama ini telah membuktikan kepada dunia bahawa negara kita hari ini terdiri daripada masyarakat majmuk yang hidup harmoni, ekonomi dan politik negara kita stabil dan kukuh berbanding dengan negara-negara serantau yang lain. Negara kita juga mampu menyediakan pelbagai peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada anak-anak muda pada hari ini. Dengan TN50 sebagai hala tuju baharu yang akan ditentukan oleh para belia, Malaysia akan terus maju dan mara ke hadapan dengan lebih cemerlang lagi, terutamanya dengan mengambil kira dan memanfaatkan perubahan dan perkembangan pesat dalam dunia teknologi.

Hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang pembangunannya kekal mapan, tentu sekali ia memerlukan tenaga manusia yang berilmu pengetahuan, berkemahiran tinggi, dinamik serta mempunyai nilai-nilai moral yang murni dan positif. Beban untuk melahirkan generasi untuk memenuhi hasrat TN50 adalah amat berat. Semua ini adalah satu perancangan.

Hakikatnya, perancangan merupakan sunnah atau jalan para Rasul. Ia telah lama tercatat dalam al-Quran untuk kepentingan umat manusia umumnya dan kesejahteraan umat Islam khususnya. Semua perancangan yang dibuat bertujuan menjaga negara, bangsa, masyarakat, diri dan keluarga  kita daripada sebarang risiko atau kemungkinan yang tidak dijangkakan pada masa depan. Janganlah disalahkan takdir apabila sesuatu malapetaka berlaku kepada kita, sedangkan kita tidak berusaha langsung untuk mengelakkan diri daripadanya walhal kita mempunyai pilihan untuk berbuat sesuatu.- MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *