Home » Citra Yadim » Golongan muda perlu beri sumbangan dalam dakwah

Golongan muda perlu beri sumbangan dalam dakwah

PUTRAJAYA 11 Sept. Golongan muda perlu memberi sumbangan dalam dakwah dengan cara mereka sendiri dan ia boleh dilakukan dengan pelbagai cara termasuk ketika melakukan aktiviti santai seperti bersukan, kata Pengurus Besar Operasi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Redhauddin Kamarulzaman.
Beliau berkata, penyampaian mesej-mesej dakwah boleh dilakukan dalam perkara-perkara yang mudah seperti menunjukkan contoh yang baik dan melakukan perkara-perkara dalam batas syariah seperti menutup aurat ketika melakukan aktiviti.
“Menunjukkan contoh yang baik itu adalah perkara yang boleh dilakukan oleh golongan muda dan ia adalah juga dakwah,’’ katanya kepada pelajar Diploma Syariah Islamiah daripada Kolej Antarabangsa Unifield yang mengadakan lawatan ke YADIM pada 7 September lalu.
Menurutnya, tugas berdakwah bukanlah semata-mata terletak di bahu kaki tangan di agensi-agensi agama semata-mata, sebaliknya ia boleh dilakukan oleh seluruh umat Islam termasuk golongan muda.
Justeru, beliau berharap, golongan muda sama-sama mengambil peranan masing-masing dalam memberikan contoh yang baik kepada rakan-rakan sebaya agar mereka juga tertarik untuk mengamalkan ajaran agama dengan sebaik-baiknya.
“Bagi menyampaikan dakwah dengan berkesan, saya juga berharap generasi muda berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan dan berusaha memperbaiki diri dari semasa ke semasa,’’ katanya.
Tujuan lawatan para pelajar berkenaan ke YADIM adalah untuk mengenali agensi ini dengan lebih dekat di samping ingin mengetahui mengenai metodologi dakwah kepada masyarakat yang digunakan.
Selain itu, mereka juga berminat untuk menyertai program-program anjuran YADIM pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *