BANGKOK 6 Sept. – Ko Mratt, etnik Rohingya dari Myanmar, menceritakan kisah tragiknya kepada penyelidik, yang beliau hampir kehilangan seluruh anggota keluarganya dalam pembunuhan kejam yang didakwa dilakukan oleh tentera Myanmar tahun lepas.
Bekas penduduk perbandaran Maungdaw itu berkata, beliau kehilangan adik yang sedang melahirkan bayi, seorang lagi adik yang hamil tujuh bulan, anak lelaki berusia empat tahun dan anak saudara lelaki berusia lima tahun pada 14 Oktober.
Mereka semua ditembak mati, katanya kepada penyelidik Rangkaian Hak Asasi Manusia Burma (BHRN), yang menyiarkan laporan, dakwaan kekejaman terhadap umat Islam di Myanmar, bertajuk, “Penganiayaan terhadap Umat Islam di Burma. Laporan BHRN”.
Ko dalam laporan itu menceritakan bagaimana dia melihat ibunya yang berusia 70 tahun dibunuh, isteri ditembak dan rumah mereka dibakar dalam pembunuhan kejam itu.
Sebaik selepas kejadian mengerikan itu, Ko dan isterinya yang mengalami kecederaan parah melarikan diri dari bandar tersebut ke Cox’s Bazaar di Bangladesh, dan berjaya mendapatkan bantuan doktor untuk merawat luka tembakan yang dialami isterinya.
Isterinya selamat dalam tempoh getir itu. Doktor mengeluarkan serpihan peluru, tetapi 18 lagi serpihan masih berada dalam badan isterinya.
Laporan itu melibatkan lebih 350 wawancara dalam tempoh lapan bulan bermula Mac 2016, testimoni yang dikumpulkan daripada individu di lebih 46 bandar dan kampung seluruh Myanmar.
Laporan itu yang dikeluarkan Selasa, oleh pengasas dan pengarah eksekutifnya, Kyaw Win di sini, membuktikan bukti kukuh mengenai penindasan sistematik yang berterusan, yang tidak hanya terhad kepada etnik Rohingya tetapi juga kepada umat Islam lain di Myanmar.
Laporan itu dikeluarkan selepas satu lagi serangan pembunuhan tercetus di negeri Rakhine yang menurut organisasi bantuan antarabangsa telah mengorbankan beratus-ratus nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak.
Kekejaman itu yang didakwa dilakukan oleh ‘Tatmadaw’ atau tentera Myanmar juga telah memaksa lebih 100,000 warga Rohingya untuk meninggalkan rumah mereka yang musnah akibat dibakar.
Laporan setebal 100 halaman itu, turut menyingkap pengalaman seorang lagi lelaki Rohingya, Ye Thu, 40, juga dari Maungdaw, yang terjebak dalam kekejaman itu bersama-sama tiga abangnya serta dua anak beliau dan terpaksa melarikan diri.
Beliau berkata kira-kira 3.30 pagi pada 13 Nov, kampung mereka diledakkan dengan bunyi tembakan yang dilepaskan dari helikopter dan daratan dari sumber yang tidak diketahui. Keesokan harinya, dia melihat gerombolan besar anggota tentera menghampiri kampung itu dan terus melarikan diri ke belukar berhampiran.
Ye berkata dari tempat persembunyiannya, dia melihat Tatmadaws membakar kebanyakan 450 rumah di kampung itu, didakwa menggunakan senjata roket pembakar.
Beliau juga menyaksikan tentera menangkap dan membunuh penduduk kampung antaranya anak saudara, sepupu dan menantu perempuannya.
Selain dokumenkan testimoni memperincikan kekejaman terhadap etnik Rohingya dalam operasi ketenteraan itu, BHRN juga merekodkan beberapa contoh, apabila umat Islam pelbagai etnik dinafikan hak untuk mendapatkan kad pengenalan atau dikenali sebagai Kad Pendaftaran Negara (NRC).
Menurut organisasi itu, umat Islam menghadapi banyak masalah ketika memohon NRC termasuk dinafikan hak dan keperluan melengkapkan dokumen yang sukar untuk diperoleh mengenai susur galur keluarga sebelum 1824.
Pihak berkuasa juga terus menyekat pembinaan semula masjid dan madrasah yang telah rosak, dimusnahkan atau ditutup dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Di Myanmar, keengganan pihak berkuasa untuk membenarkan pembinaan semula masjid yang telah dimusnahkan dan larangan terhadap umat Islam untuk melaksanakan ibadah di rumah ibadat mereka, menjadi sebahagian daripada strategi untuk menafikan hak beragama bagi umat Islam,” menurut BHRN.
Menurut laporan itu, lima tahun selepas keganasan tercetus antara penganut Buddha dan orang Islam di barat Myanmar, keadaan umat Islam (termasuk mereka yang bukan etnik Rohingya) di seluruh negara itu semakin buruk.- Bernama
KOMEN