Home » Persuasif » Quo vadis nilai perikemanusiaan ibu bapa?

Quo vadis nilai perikemanusiaan ibu bapa?

Oleh MOHD SHUKRI HANAPI

Dr. Mohd Shukri Hanapi, Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia, 11800 Pulau Pinang

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kes pembunuhan kejam, penderaan dan perlakuan tidak berperikemanusiaan yang melibatkan ibu bapa kandung terhadap anak kandung mereka sendiri makin menjadi-jadi. Boleh dikatakan hampir setiap tahun ia terjadi. Tiada pula rasa keinsafan dan pengajaran yang diambil oleh sesetengah ibu bapa daripada kes-kes yang terdahulu.

Misalnya, pada tahun 2010, seorang bekas pengawal keselamatan, Muhaimi Sautar, 34, didapati menyembelih anak lelakinya iaitu Mohd. Adam Muzaffar, tiga tahun hingga mati. Selain itu, pada tahun 2011 pula, sepasang suami isteri dilaporkan telah menikam perut dan belakang anak mereka, Aszalie yang berusia dua tahun hingga mati dengan senjata tajam. Pada tahun yang sama, seorang bapa dilaporkan membunuh ketiga-tiga anaknya yang berusia 2 hingga 5 tahun dengan menolak mereka ke dalam kolam takungan air selepas membawa mereka bersiar-siar. Si bapa dikatakan bertindak sedemikian sebagai akibat daripada masalah yang timbul selepas bergaduh dengan isterinya.

Seterusnya, pada tahun Ogos 2013, dilaporkan seorang ibu yang berusia 30 tahun didakwa membunuh anaknya yang berusia lima tahun, di ruang tamu rumah mereka. Kemudian, pada tahun 2014 pula, dilaporkan kes yang membabitkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, Nur Ain Ariana yang dipercayai dibunuh secara bersama oleh ibunya dan teman lelaki ibunya. Pada tahun yang sama, dilaporkan seorang remaja kelainan upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah, 16 yang ditemui dalam keadaan kurus kering dan tidak terurus di kediaman keluarganya di Taman Semarak, Nilai. Dia yang ditinggalkan ibunya dalam rumah secara bersendirian ditemui oleh pasukan Imigresen yang menjalankan pemeriksaan di kawasan perumahan tersebut.

Pada tahun 2015 pula, dilaporkan kes seorang ibu berusia 26 tahun dipercayai menendang anak kandungnya berusia tiga tahun sehingga mati. Nor Nazierah Rahmat didakwa membunuh anak sulungnya, Nur Umairah Zainol Abdullah di kediaman mereka. Pada tahun yang sama, dilaporkan seorang ibu kandung menyembelih kedua-dua orang anak lelakinya di kediaman mereka di Lorong 11, Taman Wira Indah, Sungai Petani, Kedah.

Terbaru  pada 2016 yang lalu, dilaporkan seorang ibu yang berusia 22 tahun didapati mendera anaknya Ainul Solehah Mohd Husmauddin, dua tahun sehingga menyebabkan kematian. Kemudian pada November 2016, dilaporkan seorang ibu dan teman lelakinya didapati telah mendera seorang kanak-kanak lelaki yang berusia dua tahun sehingga mati. Mayatnya ditemui diawet dalam sebuah tong ikan, manakala kakaknya yang berusia 4 tahun, kritikal dan dirawat di hospital.

Berdasarkan kes-kes jenayah yang melibatkan ibu bapa kandung ini mempamerkan seolah-olah manusia pada zaman ini semakin hilang kewarasan dan nilai kemanusiaan. Betapa bercelarunya jiwa manusia apabila kewarasan dan nilai kemanusiaan yang membentuk manusia menjadi insan yang berakhlak mulia dan bertimbang rasa semakin jauh daripada diri mereka.

Disebabkan hilang dan pudarnya nilai kemanusiaan itulah yang menjadikan manusia semakin kejam dan ganas sehingga sanggup melakukan pelbagai perbuatan zalim bukan hanya terhadap orang lain, malah kepada anak-anak kandung yang merupakan darah daging mereka sendiri.

 

Hadiah Dan Amanah Dari Allah

Anak-anak merupakan hadiah besar dan amanah Allah SWT kepada setiap pasangan suami isteri dalam kehidupan berumahtangga. Boleh dikatakan setiap suami isteri ingin memiliki cahayamata hasil daripada perkahwinan mereka. Walau bagaimanapun, tidak semua suami isteri itu memperoleh hadiah Allah SWT ini. Bagi suami isteri yang dihadiahkan anak oleh Allah SWT, mereka hendaklah menerima hadiah Allah SWT tersebut dengan penuh rasa bertanggungjawab dan beramanah. Hal ini tidak kira sama ada anak yang diperoleh itu adalah anak yang sempurna ataupun anak yang digolongkan dalam kategori kurang sempurna seperti hyper active, autisme, agak nakal, dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Kehidupan suami isteri yang dianugerahkan anak yang sempurna adalah berbeza dengan kehidupan suami isteri yang dianugerahkan anak hyper active, autisme, agak nakal, dan OKU. Ujian suami isteri yang dikurniakan anak sempurna lebih ringan berbanding pasangan suami isteri yang dianugerahkan anak anak hyper active, autisme, agak nakal, dan OKU. Kehidupan mereka sudah tentu penuh dengan ujian dan dugaan yang pelbagai ragam.

Dalam hal ini. mereka perlu sabar dan tabah menghadapi ujian Allah SWT dengan sentiasa mengadu dan bergantung harap kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidak ada suatu rezeki pun yang Allah berikan kepada seseorang hamba yang lebih luas baginya daripada sabar” (HR al-Hakim).

Benar setiap ujian dan dugaan yang hadir itu pasti terasa pahit dan perit untuk dihadapi. Namun, setiap ibu bapa yang dikurniakan anak yang kurang sempurna, mereka tidak perlu mempersoalkan “kenapa Allah SWT menguji kami dengan ujian ini?”. Selain itu, mereka juga tidak wajar berburuk sangka terhadap Allah SWT dengan berkata, “Ya Allah, kenapa Engkau menguji kami yang tidak banyak harta ini dengan ujian seberat ini, sedangkan masih ramai lagi daripada hamba-Mu yang kaya-raya dan berharta. Kenapa Engkau memilih kami dan tidak memilih mereka?”

Sebenarnya setiap persoalan yang timbul ini, jawapannya sudah tercatat dalam al-Quran. Bagi persoalan kenapa kami diuji? jawapannya telah jelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud, “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu ujian)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa-apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta” (al-‘Ankabut: 2-3).

Bagi persoalan kedua pula iaitu kenapa kami diuji dengan ujian seberat ini? jawapannya telah dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud, “Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya?” (al-Baqarah: 286).

Justeru, setiap pasangan suami isteri yang diuji dengan anak-anak hyper active, autisme, agak nakal, dan OKU hendaklah memahami bahawa tujuan Allah SWT menguji mereka adalah semata-mata untuk menilai sama ada mereka benar-benar beriman atau berdusta. Jangan sesekali menyangka ia satu kezaliman daripada Allah SWT kerana Allah SWT tidak pernah menzalimi para hamba-Nya. Lebih berat lagi apabila mereka bertindak mendera dan membunuh anak-anak yang dikurniakan Allah SWT.

Di samping itu, mereka perlu juga meyakini bahawa mereka mampu menghadapi ujian itu dengan bantuan Allah SWT. Allah SWT telah berjanji akan membantu setiap hamba-Nya yang berada dalam kesusahan asalkan mereka tidak putus hubungan dengan-Nya. Di sini jelas membuktikan Allah SWT itu bersifat Adil terhadap hamba-Nya.

Bagi suami isteri yang mempunyai anak yang kurang sempurna dan OKU, mereka tidak perlu berdukacita dan merasa malu untuk berdepan dengan masyarakat sekeliling. Mereka tidak perlu juga bertindak mengurungkan anak OKU mereka itu dalam sangkar atau tempat yang tersembunyi daripada pengetahuan orang ramai. Malah mereka sepatutnya berbangga dengan anugerah Allah SWT ini kerana anak-anak istimewa hanya dianugerahkan kepada ibu bapa yang istimewa. Anak-anak OKU ini merupakan anak syurga.

Segala sangkaan buruk terhadap Allah SWT hendaklah dihindari sama sekali. Jika tidak, ia boleh menyebabkan suami isteri yang mempunyai anak yang kurang sempurna dan OKU itu sukar untuk menerima ujian Allah SWT dengan berlapang dada. Apabila ujian Allah SWT sukar diterima, maka berlakulah pelbagai perkara yang di luar batas kemanusiaan sehinggakan ada yang sanggup mengurung, mengabai, mendera dan membunuh anak yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada mereka itu tanpa rasa belas kasihan dan berperikemanusiaan.

Bukan setakat itu, malah ada pasangan suami isteri yang bercerai kerana salah seorang daripada mereka tidak dapat menerima kehadiran anak hyper active, autisme, agak nakal, dan OKU. Mereka saling memburukkan keturunan antara satu sama lain tanpa memikirkan hikmah di sebalik ujian berat yang mereka hadapi itu.

Sebagai ibu bapa, kita dituntut mengasihi anak-anak yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Hal ini telah ditunjuki melalui perilaku Rasulullah SAW sendiri. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW menggendong Ibrahim dan menciumnya (HR  al-Bukhari). Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW mencium al-Hassan bin Ali. Pada ketika itu di sisi Nabi ada al-Aqra’ bin Habis al-Tamimiy (seorang muallaf) yang sedang duduk. Maka al-Aqra’ berkata: “Aku mempunyai 10 orang anak, tidak seorang pun daripada mereka pernah ku cium.” Maka Rasulullah SAW pun melihat kepada al-Aqra’ lalu bersabda: ‘Sesiapa yang tidak merahmati atau menyayangi (anak-anak mereka) maka ia tidak akan dirahmati (Allah)” (HR  al-Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan hadis ini, kalau kita terkurang kasih sayang terhadap anak-anak pun sudah hilang rahmat Allah SWT, apatah lagi jika ibu bapa bertindak mendera, mengurung, membunuh dengan kejam, dan melakukan tindakan-tindakan lain yang menggambarkan hilangnya nilai perikemanusiaan. Sudah tentu balasannya lebih dahsyat. Sesetengah ibu bapa hari ini  semakin hilang pertimbangan dan tidak lagi menggunakan kewarasan akal dalam membuat sebarang tindakan.

Kata “rahmat” kasih sayang sesama makhluk adalah kelembutan hati yang membuat seseorang memuliakan  dan ihsan (berbuat baik) terhadap orang lain, terutamanya anak-anak. Rahmat sesama makhluk adalah termasuk dalam amal soleh, sedangkan rahmat daripada Allah SWT adalah balasan atas amal soleh yang dilakukan. Orang yang berfikir dan bersemangat untuk membuat kebaikan pada dirinya sendiri akan berusaha agar rasa kasih sayang itu menjadi akhlak dan keperibadiannya, agar mendapatkan rahmat Allah SWT dan kasih sayang sesama manusia. Sesiapa yang menyayangi, dia akan disayangi, dan sebaliknya sesiapa yang tidak menyayangi maka turut tidak disayangi.

Justeru, perbuatan mendera, mengurung, dan membunuh anak-anak kandung sendiri dengan kejam mempamerkan hilangnya nilai perikemanusiaan. Ia menggambarkan masalah berkenaan semakin membimbangkan dan wujudnya kepincangan isu keruntuhan moral, nilai dan sosial dalam kalangan ibu bapa yang perlu ditangani dengan lebih berkesan. Kewujudan kes-kes ini juga memperlihatkan sifat kasih sayang dan tahap keimanan ibu bapa itu semakin tipis, seakan-akan tidak tahu hukum dosa dan pahala. Jerih payah ibu sepanjang sembilan bulan mengandungkan bayi itu juga seperti tidak dirasainya.

Secara kesimpulannya, tipisnya keimanan dan pudarnya sifat kasih sayang dalam jiwa ibu bapa menjadi punca utama hilangnya nilai perikemanusiaan dalam diri mereka. Dengan itu, mereka tidak akan rasa bersalah bagi segala tindakan kejam yang mereka lakukan terhadap anak-anak kandung sendiri. Justeru, bagi mengembalikan nilai perikemanusiaan yang hilang itu, ibu bapa perlu lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT dan tidak berperasangka buruk terhadap-Nya. Apabila hidup dekat dengan Allah SWT, mereka akan dirahmati-Nya. Orang yang hidup dalam rahmat Allah SWT, akan tumbuh dalam dirinya sifat kasih sayang. Apabila wujud sifat kasih sayang ini, maka secara automatiknya akan lahirlah nilai kewarasan dan perikemanusiaan itu.

Wallahu a‘lam. – MAJALAH DAKWAH

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *