Home » Citra Yadim » Isu anak tak sah taraf perlu diperhalusi – Mufti

Isu anak tak sah taraf perlu diperhalusi – Mufti

MUFTI wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan perbincangan isu anak tidak sah taraf perlu diperhalusi dan diperjelaskan dengan baik.

Ini kerana katanya, anak tidak sah taraf ini adalah sifat yang luas sebagaimana yang disebut oleh fatwa seperti anak hasil daripada nikah fasid atau pernikahan yang tidak menepati prosedur sebenar.

“Inilah yang perlu diperhalusi dan dijelaskan dengan baik. Berdebat dan berbincang dari segi akademik dan penambahan ilmu adalah sihat, kita tidak menjumudkannya,” kata beliau.

Bercakap kepada wartawan pada Sidang Meja Bulat: Bicara Ilmiah Anak Tidak Sah Taraf di Bangi, hari ini beliau berkata pihaknya bersetuju dengan pandangan yang sedia ada kerana lebih fokus dan berhemah di dalam suasana mazhab syafie.

“Kita melihat dari segi kebiasaannya yang diterima pakai sebagaimana disebut ulama yang ada autoriti daripada dahulu lagi iaitu mazhab syafie, maka itulah yang kita perlu utamakan,” katanya.

Di dalam isu ini katanya, Islam mengambil pendekatan dengan menyatakan pandangan secara khalayak supaya ia perlu dijelaskan dengan diikuti ilmu pendidikan.

“Sebab itulah kita kena ‘tutup aib sebelum aib dibuka’. Kadang-kadang kita nampak kita hendak jaga malu orang itu ini, kalau hendak jaga malu tidak payah bincang atau bicara,” ujarnya.

Melihat suasana pada hari ini, beliau menyedari anak-anak tidak sah taraf ini akan mengalami trauma selepas mengetahui latar belakang mereka setelah sekian lama disembunyikan oleh penjaga.

Justeru katanya, perlu ada semangat untuk menjaga anak-anak ini agar mereka ditarbiyah dan mungkin  mereka akan menjadi anak-anak yang luar biasa.

“Pujangga berkata bilamana ibu bapa lemah mendidik anak-anak semasa kecil maka kerajaan akan lemah untuk mendidik mengajar remaja-remaja ini,” katanya.

Sidang meja bulat yang dianjurkan oleh Majis Dakwah Negara dibarisi tiga orang panel antaranya Mufti Wilayah, Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Timbalan Dekan Akademik dan Penyelidikan Fakulti Perubatan dan Sains USIM, Profesor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar. – HARAKAHDAILY 11/8/2017

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *