Home » Langit Terbuka » Belia masih mahu definisikan diri dengan agama Islam

Belia masih mahu definisikan diri dengan agama Islam

BANGI, 7 Jun – Hasil kajian Zaaba Institute for Leadership (ZIL) mendedahkan bahawa kebanyakan golongan muda Melayu masih mahu mendefinisikan diri mereka dengan agama Islam.

Pegawai Penyelidik ZIL, Assiddiq Fauzan berkata, kajian itu dijalankan pada Oktober hingga Disember tahun lalu terhadap 3,000 pengundi Melayu di lima kawasan Parlimen di Selangor.

Lima kawasan tersebut merangkumi Gombak, Shah Alam, Selayang, Ampang dan Hulu Langat.

“Hasil kajian menunjukkan – apabila ditanya adakah anda bersedia mengundi calon berbeza agama? – 66 peratus responden pengundi kali pertama menjawab TIDAK. Namun jika ditanya adakah anda bersedia mengundi calon berbeza bangsa, hanya 43.5 peratus sahaja menyatakan TIDAK.

“Ini menunjukkan pengundi kali pertama, dalam kata lain anak muda Melayu masih mengutamakan orang Islam untuk menjadi pemimpin,” katanya.

Justeru kata beliau, hasil kajian berkenaan secara tidak langsung menolak pandangan Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin sebelum ini, bahawa belia tidak mahu mendefinisikan diri mereka mengikut agama dan bangsa.

“Mereka masih mahu mendefinisikan diri mereka dengan agama Islam,” katanya.

Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata demikian ketika mengadakan beberapa pertemuan dengan golongan muda dalam siri jelajah TN50 yang kini dipromosikan secara berterusan oleh kerajaan.

Serentak itu, Assiddiq mengingatkan semua pemimpin supaya mendatangkan fakta untuk menyokong pandangan yang mereka kemukakan.

“Sekadar beberapa perjumpaan formal masih belum memberi justifikasi yang kuat, ia tidak lebih dari sekadar sangkaan,” katanya.

ZIL dalam hasil kajian sama yang didedahkan sebelum ini juga mendapati bahawa Azmin Ali bakal kehilangan jawatannya sebagai Menteri Besar Selangor selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menerusi kajian itu, sebanyak 24.4 peratus responden berkata akan mengundi PAS, manakala 9.3 peratus akan mengundi UMNO, 5.4 peratus akan mengundi BERSATU dan hanya 5.6 peratus mengundi pakatan harapan.- www.ismaweb.net

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *