KUALA LUMPUR 9 Mei – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) melancarkan empat buku iaitu Al Rahiq Al Makhtum: Sirah Nabawiyyah, Solat itu Mudah, Contemporary Ijtihad: An Analysis Of Individual And Collective Approaches, dan Buku Sumber Rujukan Guru: Pendidikan Islam Prasekolah pada 5 Mei lalu.
Majlis pelancaran buku itu diadakan bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, dan disempurnakan oleh YBhg S. S. Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang juga penulis salah sebuah buku berkenaan iaitu `Solat itu Mudah’.
Majlis pelancaran hari ini turut mendapat kerjasama daripada mahasiswa Fakulti Pengurusan Maklumat, Universiti Teknologi Mara.
Secara ringkasnya, buku `Solat Itu Mudah’ setebal 110 halaman itu, membicarakan mengenai isu-isu berkaitan solat dengan mengambil kira kepentingan serta kedudukannya sebagai rukun Islam kedua selepas bersyahadah.
Buku ini menjelaskan hukum-hakam dan cara-cara solat yang lengkap dan terperinci beserta dengan kupasan dalil-dalil dengan terperinci dan dipersembahkan dengan gaya bahasa yang mudah difahami beserta makna bacaan, serta gambar dan ilustrasi.
Selain itu, turut dimuatkan adalah sejarah kewajipan solat, panduan solat bergambar, cara bersolat bagi orang yang sedang sakit, amalan-amalan yang digalakkan untuk dilakukan selepas solat serta tips bagaimana kusyuk dalam solat dan kelebihannya turut dimuatkan.
Buku kedua yang dilancarkan adalah `Contemporary Ijtihad: An Analysis of Individual And Collective Approaches’ yang ditulis oleh Yang Dipertua YADIM, Dr. Yusri Mohamad dan merupakan terbitan bersama YADIM dan Islamic and Strategic Studies Institute (ISSI)
Buku yang mempunyai 249 halaman adalah sebuah buku yang memberikan keseluruhan pengetahuan berguna dalam menentukan sikap, amalan dan keperluan berijtihad dalam menyelesaikan kemelut umat.
Kandungan buku ini mengandungi lima bahagian iaitu Asas dan Perkembangan Ijtihad, Kompenen Asas Ijtihad, Pendekatan Individu, Pendekatan kolektif dan Dapatan dan Syor.
Buku ini juga menggariskan keperluan-keperluan yang wajar bagi membolehkan amalan berijtihad dilihat sebagai satu sumber hukum yang wibawa dan boleh diterima umum sebagaimana pada zaman keemasan Islam.
Buku `Buku Sumber Rujukan Guru Pendidikan Islam Prasekolah’ yang turut dilancarkan hari ini pula adalah sebuah penerbitan yang berkaitan panduan yang lengkap dan komprehensif berkenaan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Islam dengan mengambil kira aspek terkini dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK)serta memenuhi keperluan Kurikulum Pendidikan Islam Prasekolah.
Buku ini mengandungi 16 bab merangkumi topik Akidah, Ibadah, Sirah, Akhlak, Asas Bahasa al-Quran (Bahasa Arab) dan Asas Tulisan Jawi dengan dilengkapi dengan penerangan serta kaedah pengajaran dan pembelajaran bagi setiap topik tersebut berserta lampiran-lampiran yang membantu. Ia juga didatangkan dalam contoh langkah demi langkah, jadual-jadual serta ilustrasi untuk memudahkan sesi pengajaran dan pembelajaran.
Pada majlis hari ini, YADIM juga melancarkan sebuah buku terjemahan yang amat popular dan sudah mencecah 10 kali cetakan iaitu `Al-Rahiq Al-Makhtum: Sirah Nabawiyyah’ hasil tulisan Safiyyu Al-Rahman Al-Mubarakfuri
Buku Ar-Rahiq Al-Makhtum: Sirah Nabawiyyah ini hasil dari kajian Sheikh Safiyyur Rahman al-Mubarakfuri terhadap sirah Rasulullah SAW. Kajian tersebut telah dinobatkan sebagai kajian terbaik penulisan sirah Rasulullah SAW oleh Rabitah Al-Alam Al-Islami di Mekah pada tahun 1979.
Buku ini memaparkan gambaran terperinci bermula dari latar belakang masyarakat Arab, perjalanan hidup Baginda hinggalah kepada wafatnya Baginda dan dikisahkan mengikut kronologi dan diriwayatkan dari sumber-sumber yang dipercayai.
KOMEN