KUALA LUMPUR 10 April – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semua pihak perlu meletakkan tekad untuk menentang sebarang ancaman keganasan selepas siri terbaharu serangan kumpulan militan Daesh ke atas gereja di Tanta dan Iskandariah, Mesir.
Perdana Menteri berkata, masing-masing tidak boleh mudah menyerah kalah memandangkan matlamat Daesh hanyalah untuk memecahbelahkan masyarakat Islam, Kristian atau penganut-penganut agama lain.
“Saya begitu jelak dengan serangan pengecut di gereja di Tanta dan Iskandariah. Pada masa berkabung ini, ingatan dan doa kami bersama keluarga mangsa yang hilang dan seluruh rakyat Mesir.
“Serangan ini adalah satu lagi peringatan kepada ancaman keganasan. Kita tidak boleh menyerah kalah dan setiap kekejaman perlu menguatkan tekad kita,” katanya menerusi Facebook beliau, hari ini.
Sekurang-kurangnya 36 orang terbunuh dan lebih 100 cedera dalam insiden letupan bom di dua gereja Kristian Koptik semalam dalam kes serangan terkini oleh militan ke atas penganut agama minoriti.
Letupan pertama berlaku di Tanta, iaitu di delta Sungai Nil kurang dari 100 kilometer di pinggir Kaherah, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 25 orang dan mencederakan 78 yang lain.
Letupan kedua berlaku beberapa jam kemudian oleh pengebom bunuh diri di Iskandariah, yang menjadi tempat tinggal Pope Koptik dan insiden itu membunuh 11 orang termasuk tiga anggota polis dan mencederakan 35 yang lain.
Kumpulan militan Daesh di Mesir menyebabkan konflik di Semenanjung Sinai sejak beberapa tahun, menggiatkan serangan terhadap penganut Kristian di Mesir kebelakangan ini.
Serangan pengebom bunuh diri di gereja Koptik terbesar di Kaherah telah meragut sekurang-kurangnya 25 nyawa dan mencederakan lagi puluhan orang pada Disember lalu, manakala pada tahun 2015, sebanyak 21 Kristian Mesir yang bertugas di Libya maut angkara kumpulan militan itu.- www.utusan.com.my
GISBH: JAIS buka 141 kertas siasatan, serah pendakwaan kepada pendakwa raya syarie
SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan membuka 141 kertas siasatan berkait kes GISB Holdings (GISBH) di negeri ini. Pengarahnya, Datuk
KOMEN